Monday, January 25, 2016

Gelap.

Terima kasih kerana memberi komen, pendapat dan sokongan sepanjang minggu gelap aku minggu lepas.

Maaflah.
Untuk blog ini, aku tak akan reply sekerap yang aku reply di blog satu lagi.
Tapi aku jamin aku baca semua komen yang ditaip.

Blog ini supposed to be my escape route, sesuatu yang aku nak kongsi tapi lebih private dan tak sesuai dikongsi di blog satu lagi yang (kononnya) lebih cerita dan santai.
Blog ini lebih berat, sarat dan emosional.

Aku tak sangka ada juga yang baca blog ini.
Mungkin sebab aku set auto-ping ke media sosial bila ada entri baru,
so capaiannya jadi ramai.

Aku mungkin patut off auto-ping untuk blog ni rasanya.

Bagi yang bertanya apa bidang yang aku nak masuk itu,
jawapannya aku tidak akan beritahu.
Kalian boleh buat assumption sendiri tentang bidang apa yang aku maksudkan, tapi harapnya tiada yang jadikan assumption itu sebagai fakta.

You know how I hate wild assumptions.

Cukuplah untuk aku terangkan di sini, aku sudah pun buat keputusan.
Satu yang sukar, tapi keputusan aku itu sepenuhnya 100% keputusan aku,
jadi kalau aku silap sekalipun, aku tiada orang lain untuk dipersalahkan.
100% atas aku.

The truth is,
aku tak ada telinga untuk mendengar segala keluh kesah masalah aku macam mana aku selalu jadi telinga untuk orang.
Jadi blog inilah telinga aku.
Aku tak minta simpati siapa, juga bukan niat aku nak minta pertolongan mana-mana.
Semuanya sekadar niat mahu berkongsi, mahu didengari,
sebagai satu wadah untuk aku ukur kewarasan diri.

Tapi hakikatnya impian orang purba sangat mahal.
Aku rindukan impian anak kecil yang cukup murah dan basah di hujung lidah.

Hidup kena terus.
Cerita impian dan harapan dan cita-cita yang terkubur sentiasa segar dan seronok apabila diceritakan semula kepada generasi seterusnya.

Sekali lagi, terima kasih semua yang sudi membaca, yang sudi mendengar.



.

Sunday, January 24, 2016

Keputusan.


Salam.

Yang ada, mencari. Yang menuju, berhalangan. Yang sudah ada, tidak bersyukur.





Mungkin jika aku tanya kalian patutkah aku berputus asa, jawapan kalian ialah tidak, terlalu awal, cuba lagi, jangan putus asa. Tapi daripada segala halangan yang aku lalui sejak dari awal menetapkan impian, aku terasa seperti ada saja yang menghalang.

Belum dapat peluang, aku cari peluang. Sudah dapat peluang, banyak yang menghalang. Halangannya pula bukannya kecil, tapi cukup besar dan tidak dapat diterima akal. Semua ini membuatkan aku penat. Penat meronta. Penat menempuh. Penat segalanya.

Aku sudah berada di hujung pemikiran di mana aku perlu buat satu keputusan pejal dan berpegang kepadanya. Satu keputusan sama ada segala rontaan dan susah payah yang aku lalui sebelum ini bakal berbaloi ataupun ia sekadar satu memori yang bakal terpalit di benak akal fikiran aku.

Satu keputusan yang cukup besar, sama ada aku patut kejar impian dan menikmatinya atau tinggalkannya dan kembali menjadi diri aku sebelum ini, sebelah selipar yang dihanyut arus kehidupan.

Satu keputusan yang bakal mencorak pemikiran aku yang sebelum ini percayakan tiada kemustahilan ataupun membuktikan bahawa sesetengah perkara itu adalah mustahil tidak kira betapa kuat kita menguak.

Keputusan tentang satu soalan.
Patutkah aku berputus asa dari impian aku?

Aku patut.




.

Saturday, January 23, 2016

Syukur.


Salam.

Mengejar impian bukannya mudah, apatah lagi kalau lambat bermula. Wang, bantuan, masa, konsep, bukanlah sesuatu yang senang diperoleh hanya kerana kemahuan kita yang membuak-buak.





Sebab itu aku yakin, kalau aku mampu harungan segala cabaran ini, aku akan menjadi seorang yang bersyukur dan tidak mudah lupa diri. Kesusahan dan kesakitan yang dilalui merupakan pengajar terbaik untuk menjadi yang lebih baik. Aku yakin aku mampu menjadi sesuatu yang terbaik, tawaduk dan merendah diri.

Namun lain cerita dengan mereka yang sudah berada di jalam impian aku.

Sering kali aku baca dan dengar tentang rungutan mereka. Susah sana. Payah sini. Sesal sana. Kesal sini. Ini salah. Itu salah. Semuanya serba tidak kena, walhal mereka sudahpun menjadi apa yang ingin jadi. Jelas kedengaran tiada kesyukuran ke atas Yang Maha Esa tentang jalan yang mereka perolehi. Tidak habis-habis dengan rungutan walaupun sudah sedia maklum itu merupakan sebahagian daripada profil kerjaya mereka.

Jenis orang macam ini yang sangat menyakitkan hati aku.

Kalau ikutkan sisi hitam aku, mahu saja aku rejam kepala mereka sampai bersyukur dengan setiap nafas yang mereka helakan. Mahu saja aku potong kaki mereka supaya mereka tahu tempat mereka berdiri itu merupakan idaman ramai, termasuk aku. Mahu saja aku cantas kepala mereka supaya mereka tahu langit yang mereka junjung itu adalah kurniaan Tuhan Yang Memberi Rezeki.

Bersyukurlah.
Tapi kalau tak suka, berundurlah.
Ramai lagi menanti panggilan mereka.

Aku harap aku tidak akan tergolong ke dalam golongan sedemikian. Namun dari apa yang aku rasai sekarang, harapan adalah perkara terakhir boleh aku harapkan.

Patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Friday, January 22, 2016

Hitam.


Salam.

Semasa kecil aku selalu bertanya kepada diri sendiri.
"Orang jahat tahu tak dirinya jahat? Kalau dia tahu dia jahat, kenapa dia tetap nak buat jahat? Jahat kan berdosa."





Aku tidak ingat apa jawapan yang aku dapat dari soalan aku itu. Tapi yang aku pasti konsep jahat-baik, dosa-pahala pada aku waktu itu seperti konsep hitam dan putih. Hitam dan putih dapat dibezakan hanya dengan sekali pandang, tidak perlu bahasan yang panjang.

Namun semakin dewasa, konsep hitam-putih itu semakin kabur. Apa perkara jahat yang bertujuan baik dan berpengakhiran baik. Ada perkara baik yang memberikan mudarat kepada orang lain sehinggakan termuncullah kejahatan.

Jahat dan baik kini bukan lagi semudah membezakan hitam dan putih. Tiada lagi sempadan nyata antara hitam dan putih, tetapi wujudnya kelabu di antara dua. Bukan hitam, bukan putih, tapi kelabu.

Begitulah rontaan harian aku.

Untuk memenuhi tuntutan mengejar impian (terutamanya kewangan), bermacam-macam helah jahat kau fikirkan. Menipu. Merompak. Memeras ugut. Mencuri. Menyorok kebenaran. Namakan sahaja. Otak aku tidak pernah berhenti dari memikirkan penyelesaian. Kebanyakannya adalah jalan hitam yang tidak halal.

Tapi niat aku ialah mahu sambung belajar. Mahu menjadi sesuatu, seseorang yang bakal menyumbang kepada orang lain. Mahu menjadi pemberi inspirasi, pembawa harapan, pengiring keamanan dan keindahan hidup. Bukankah itu satu niat yang murni?

Persoalannya sekarang, tiada jalan singkat untuk aku memperolehnya jika aku tidak lalui jalan hitam. Tanpa agama dan pedoman, aku mungkin sudah memilih jalan hitam kerana ia lebih senang dan berhasil. Namun aku ada agama. Aku ada pedoman. Aku harap iman aku cukup kuat untuk mengelak jalan-jalan tidak halal itu semata-mata hanya kerana hasil yang aku dapat mampu membawa kebaikan.

Ia berbalik kembali kepada soalan aku setiap hari.
Patutlah aku berputus asa dari impian aku?




.

Thursday, January 21, 2016

Bidik.


Salam.

Kewangan. Bantuan. Usia. Itu antara faktor kepada dilema aku mengejar impian dan cita-cita. Namun apa yang penting ialah konsep aku sendiri terhadap impian itu sedikit lambat.





Bukan mahu mencari salah sesiapa atau mahu memburukkan keluarga, tapi aku dibesarkan tanpa konsep impian dan cita-cita. Ya. Semasa di bangku sekolah, aku dilatih untuk menggapai kejayaan dalam setiap peperiksaan, tapi aku tiada konsep untuk apa aku lakukannya. Seperti pemanah yang memegang busur dan anak panah. Busur aku hebat, anak panah aku tajam, tapi aku tiada sasaran. Aku boleh bidik dengan tepat tapi tanpa sasaran, bidikan aku tidak bermakna.

Aku tak salahkan Emak Abah aku yang membesarkan aku. Aku sangat faham, dalam keluarga sederhana, apa yang penting adalah boleh teruskan hidup dengan selesa. Tidak perlu impian dan cita-cita yang selalunya tidak tercapai dek kemampuan.

Aku juga tidak salahkan cikgu-cikgu aku. Memang tiap kali ditanya mengenai cita-cita, semua ada jawapannya. Tapi aku hanya menuturkan jawapan. Aku langsung tidak memikirkan ia adalah target yang sepatutnya aku capai. Aku umpama daun gugur ke atas permukaan sungai, dibawa arus mengikut aliran. Aku tiada hala tuju pada ketika itu.

Namun, satu hari aku mendapat satu perasaan untuk menjadi sesuatu. Untuk menjadi sesuatu yang lebih dari diri aku ketika itu. Buat pertama kali dalam hidup, aku nampak sasaran. Aku tahu di mana perlu aku bidik panah aku.

Tapi waktu itu segalanya sudah terlambat.

Sasaran terlalu jauh. Sasaran dihalang ribuan onak. Walaupun belum mustahil, tapi bukannya mudah. Pelbagai halangan perlu aku lalui, malah masa langsung tidak membantu. Ia terlalu sukar, terlalu mahal sehinggakan aku seperti terkapai-kapai di hujung nafas hanya untuk mendapat sedikit jelingan terhadapa sasaran itu.

Ia susah. Ia mahal. Ia payah.

Jadi,
patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Wednesday, January 20, 2016

Usia.


Salam.

Dalam episod sebelum ini aku bercerita tentang halangan kewangan dan bantuan dalam usaha aku untuk mengejar impan dan cita-cita. Kali ini aku mahu sentuh mengenai usia dan masa.




Aku selalu gelarkan diri aku manusia purba. Mungkin sedikit berlebihan tapi fakta itu tidak boleh disangkal kebenarannya. Aku bukannya muda lagi. Aku bukannya seusia dengan mereka-mereka lain yang mahu sambung belajar. Aku jauh lebih tua. Sebab itu bila aku kata aku mahu sambung belajar, ada segolongan manusia berpendapat aku sudah terlambat.

Ya. Aku juga fikir aku sudah terlambat. Tapi itu tidak bermakna aku patut buang impian dan cita-cita aku begitu sahaja, kan?

Aku sedar pada usia aku ini aku sepatutnya fokus kepada kerjaya dan kembangkan potensi diri di dalam kerjaya yang aku ceburi. Tapi dari dulu lagi aku tak pernah minat dengan apa yang aku buat sekarang. Aku rasakan aku punyai potensi yang lebih dari itu, tapi bukan dalam bidang aku sekarang. Ia di dalam bidang lain, bidang yang sedang aku kejar sekarang ini. Aku mengejar impian itu bukannya atas faktor glamor ataupun kedudukan, tapi aku sedar itu minat kau sejak dari bangku sekolah lagi.

Cuma semasa di bangku sekolah aku masih jahil lagi untuk faham maksud sebenar impian dan cita-cita. Itu aku akan bincang kemudian.

Lambakan peluang sambung belajar dari universiti awam dan swasta sekarang dipenuhi dengan syarat yang (pada aku) sangat tidak masuk akal. Syarat UMUR. 'Untuk memohon, anda perlu berusia tidak lebih dari xx tahun'. Apakah? Menutup peluang orang yang lebih berusia untuk mengejar cita-cita? Menidakkan hak orang lain untuk menuntut ilmu? Syarat usia adalah syarat yang paling tidak masuk akal aku pernah dengar untuk mengejar ilmu.

Seperti kita dilarang untuk baca sesebuah buku hanya kerana kita orang tua.

Sh*t.

Duit berjuta aku boleh cari. Tapi kalau usia muda yang diperlukan, apa aku boleh buat? Tipu? Undur masa? Kikis kedut di muka? Cari identiti lain?

Bidang yang tidak meletakkan syarat umur hanyalah bidang-bidang yang bukannya pilihan.
Kenapa? Kenapa?

Persoalan yang lebih kuat lagi dalam diri aku ialah,
patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Tuesday, January 19, 2016

Risiko.


Salam.

Dalam episod pertama luahan aku dalam usaha mengejar impian semalam, aku bercerita tentang halangan kewangan. Sekarang, biar aku sambung dan bercerita tentang biasiswa dan pinjaman.





Antara perkara pertama yang difikirkan sebelum sambung belajar ialah kewangan kerana belajar bukannya murah. Ramai antara kita memilih untuk memohon biasiswa ataupun pinjaman. Dan itu juga pilihan yang kita berikan jika ada orang bertanya tentang halangan kewangan untuk sambung belajar, kan?

Kunci utama di sini ialah risiko.

Untuk biasiswa,
sebagai pelajar biasa pun bukannya senang nak dapat. Pemberi biasiswa selalunya memberikan biasiswa kepada mereka yang betul-betul layak dan berisiko kecil. Mereka tidak mahu wang yang diberikan menjadi sia-sia tanpa sebarang pulangan. Dalam kes aku, aku merupakan risiko besar. Lelaki lanjut usia yang mahu sambung belajar dalam bidang yang kritikal dan perlukan sokongan fiskal yang banyak, ITU RISIKO BESAR. Tiada pemberi biasiswa yang mahu memberi biasiswa kepada pembawa risiko besar macam aku.

Percayalah, aku sudah cuba mohon.

Untuk pinjaman,
sama seperti biasiswa, risiko adalah faktor yang penting. Tapi dari segi pinjaman, risikonya ialah kemampuan untuk membayar balik jumlah pinjaman selepas tamat pengajian. Dalam aspek itu, usia merupakan satu faktor genting dalam pemohonan. Kalau kalian tahu, bank konvensional tidak akan memberi pinjaman kepada warga tua yang tiada penjamin yang kukuh. Sama macam aku. Pinjaman tidak boleh diberikan kepada orang yang berisiko untuk TIDAK MAMPU MEMBAYAR. Jadi, aku bukanlah pilihan pemberi pinjaman atas faktor usia tidak kira pemberi pinjaman pendidikan mahupun pinjaman peribadi.

Aku akan sentuh faktor usia di entri akan datang.

Dan tolong jangan sentuh perihal PTPTN.

Jika biasiswa tidak boleh, pinjaman tidak layak, pilihan seterusnya ialah menggunakan wang simpanan sendiri.

Aku sudah buat kira-kira. Untuk aku mampu menanggung kos pengajian menggunakan simpanan sendiri, dengan kadar simpanan aku, aku perlu tunggu 5 tahun lagi untuk sambung belajar. Untuk tunggu 5 tahun bermakna usia aku sudah menjadi tidak muda untuk bidang yang aku mahu ceburi itu.

Jadi,
persoalan yang sama menjengah ke otak aku.
Patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Monday, January 18, 2016

Rambut.


Salam.

Pertama sekali aku mohon agar tiada yang akan memberi komen seperti 'aku faham apa yang kau rasa' sebab aku berani jamin tiada siapa faham apa yang aku rasa.

Dan ya,
ini entri emosional. Dan sepanjang seminggu ini aku akan keluarkan entri emosional sebagai satu wadah untuk aku melepaskan rasa jatuh yang melanda diri aku.



Rata-rata tahu aku berniat nak sambung belajar.
Tapi apa yang kalian tak tahu, niat aku tu bukan sebulan dua. Malah rasanya sudah bertahun-tahun. Selepas aku habiskan degree, aku dapat satu wake-up call. Buat pertama kalinya dalam sejarah hidup aku, aku mahu jadi sesuatu. Buat pertama kali aku ada cita-cita dan impian.

Untuk rekod, impian aku itu berbeza dengan bidang aku. Kebanyakan orang tahu aku belajar Biologi di waktu degree dahulu. Jadi aku bukannya mahu sambung belajar di dalam bidang Biologi sebagai susulan, tetapi aku mahu sambung ke dalam bidang yang totally new for me.

Tapi pada kebanyakan orang, ia sudah terlambat.

Namun aku tidak berputus asa. Aku menyimpan kerana mahu mengejar impian itu. Pada aku putus asa sebelum mencuba bukanlah caranya. Aku kaji setiap jalan dan laluan yang boleh aku ambil, yang mungkin aku ambil dalam usaha aku mengejar cita-cita itu. Selama beberapa tahun ni aku sudah menghantar berpuluh-puluh permohonan untuk sambung belajar. Tiada satu pun berbalas berita baik.

Sehinggalah ke minggu lepas.

Aku mendapat panggilan daripada satu pihak yang memberikan tawaran kepada aku untuk sambung belajar.

Berita baik, bukan?

TIDAK.

Panggilan itu dari pihak swasta. Dan disebabkan laluan aku bukanlah konvensional, maka terdapat beberapa halangan yang perlu aku lalui.

Pertamanya, kewangan.

Tolonglah jangan sebut dan suruh aku mohon biasiswa dan pinjaman. Untuk pelajar biasa sekalipun, biasiswa dan pinjaman bukannya sesuatu yang mudah untuk dipohon, apatah lagi aku yang bukan pelajar biasa ini. Hal biasiswa dan pinjaman akan aku kupas di hari lain.

Dalam tawaran itu, hanya untuk mendapat peluang duduk di dalam temuduga bersama panel mereka, aku perlu sediakan setengah ribu. Tapi itu kos yang aku rasa masih boleh diterima. Tetapi, apabila ditanya tentang kos keseluruhan pengajian, mata aku menjadi buntang mendengar jawapannya.

Untuk kosnya, bayangkan setiap helaian rambut aku boleh ditukar menjadi satu ringgit. Aku perlu cabut seluruh rambut di kepala aku, tunggu ia tumbuh semula, cabut seluruh rambut sekali lagi, tunggu ia tumbuh lagi sekali, dan cabut separuh daripanya BARULAH cukup untuk kos pengajian.

Jumlah gaji aku untuk setahun bersamaan dengan kos hanya untuk satu semester.

Aku sedar mahu sambung belajar bukanlah sesuatu yang mudah dari segi kewangan. Tapi untuk amaun sebanyak itu, aku mengeluh panjang. Halangan dari segi kewangan bukannya satu yang mudah untuk aku lalui.

Betul kata orang, money is power.
Siapa yang masih mempersoalkan kuasa wang dalam dunia kita ni bermakna dia masih belum keluar melihat dunia yang sebenar.

Jadi,
patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Friday, January 8, 2016

Dilema.


Aku sangat nak sambung belajar.

Taip memang mudah, melaksanakannya?
Persiapannya bukannya semudah lima perkataan.

Aku mahu sambung belajar.

Peluang sedang dibuka sekarang.
Jika aku mahu sambung belajar, INILAH MASANYA.
Inilah masanya untuk mula memohon.

Tapi,
masalah aku ialah aku masih belum cukup bersedia.
Bukan fizikal, bukan mental.
Aku belum bersedia dari segi kewangan.

Peluang sedang terbuka.
Tapi aku masih belum bersedia.
Adakah apabila aku terlepas peluang ini, bakal tiba peluang yang lain?

Hati terluka bila menonton video orang kaya tunjukkan kekayaan,
sedangkan aku masih meratap duit tabungan yang masih tidak mencapai sasaran.

Peluang sedang dibuka.
Namun aku masih belum bersedia.

Adakah aku patut berputus asa?
Dilema.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...