Showing posts with label AkuHati. Show all posts
Showing posts with label AkuHati. Show all posts

Monday, October 31, 2016

Kawan.


Salam.

Nama aku cEro,
at least itu yang aku gelar diri aku di alam maya buat masa sekarang.

Semasa aku mula tulis blog cErolian dahulu,
aku tidak sembunyikan langsung identiti aku.
Blog itu jadi tempat aku luahkan perasaan hati.
Banyak perkara aku ceritakan di dalam blog itu.

Hari demi hari pembaca makin ramai.
Entah kenapa, ramai suka nak tahu kisah cinta aku yang tak menjadi itu.
Jadi pada beberapa tahun lalu,
aku berkeputusan untuk asingkan sepenuhnya diri sebenar aku dan alter ego aku.

Bukan apa,
kalau boleh aku tidak mahu dilihat sebagai cEro di dunia realiti.
Aku adalah aku.
Dan cEro adalah cEro hanya di alam atas talian.
Aku tidak akan respon untuk sebarang panggilan cEro di alam realiti
dan cEro tidak akan respon untuk sebarang panggilan nama aku di dunia maya.

Tapi bak kata pepatah,
'perasaan ingin tahu mampu membunuh sang kucing'
Lagi kuat aku cuba nak simpan identiti cEro,
makin kuat usaha sesetengah insan nak korek rahsia itu.

Jadi,
beberapa bulan lalu aku longgarkan sedikit prinsip.
Aku masuk beberapa kumpulan melukis atas nama cEro.
Dan kumpulan itu perlukan komitmen secara fizikal jadi mahu tidak mahu aku terpaksa bongkarkan identiti cEro kepada beberapa orang yang pada aku boleh dipercayai.

Sedikit demi sedikit rahsia aku terbuka.
Siapa aku, siapa nama aku, umur aku, aku tinggal di mana, macam-macam lagi...

Kami bertukar-tukar idea, pendapat, bertelagah, berbaik semula, ejek-mengejek, hinggakan ada yang katanya sudah timbul rasa sayang walaupun semua itu berlaku hanya di atas talian.

Mula-mula bilangannya yang tahu identiti aku hanyalah sebilangan jari tangan.
Namun hari demi hari bilangannya makin bertambah,
aku sendiri seperti hilang dalam keseronokan berkawan.

Ya, berkawan.

Kerana aku sudah percayakan mereka,
jadi secara tidak langsung aku anggap mereka sebagai kawan.

Macam aku pernah kupas dahulu,
konsep kawan lain daripada konsep sayang.
Aku boleh sayang orang tanpa orang itu tahu pun aku wujud,
tapi aku tak boleh panggil orang kawan kalau orang itu tidak anggap aku juga sebagai kawannya.

Aku anggap kami kawan, tapi aku silap.
Aku seorang sahaja anggap kawan...

Ramai yang di antara mereka tidak layak pun dipanggil kawan.
Ada yang perangai asyik nak hentam orang je, lepas tu kata orang annoying.
Ada yang terus jadi stranger hanya sebab tak dapat apa yang dia nak.
Ada yang sentiasa nak jadi alpha, tidak kira siapa yang dikritik tetap nak jadi alpha.
Ada pula yang memilih nak kawan dengan siapa, nak shut off dengan siapa.


Mula-mula masa aku terfikir nak longgarkan sedikit prinsip aku ni,
aku tak sangka langsung bakal bertemu dengan 'kawan' yang jenis macam ni.

Mungkin salah aku kot sebab inginkan sesuatu yang utopia.

Betul kata orang,
masa akan tunjukkan warna sebenar sesetengah manusia.


Jadi,
aku buat keputusan untuk perlahan-lahan berundur dari kelompok ini.
Kalau ada antara mereka yang masih mahu anggap aku 'kawan', hampirilah aku.
AKu akan terima dengan hati terbuka.
Tapi kepada yang rasa tak ada aku pun dia tak rugi apa-apa, aku redha.
Aku terima kalau kita bukan 'kawan' lagi.



The thing is aku kurang kawan.
Jadi bila aku sudah anggap seseorang itu kawan, berani aku katakan aku sanggup jadi perisai manusia kalau ada peluru menuju ke arah mereka.

Tapi macam aku cakap,
kawan ni kena dua hala.
Aku seorang je perasan diri kawan susah juga.



Kepada yang baca entri ini dan mahu jadikan aku kawan,
carilah aku dari mana medium sekalipun.
InsyaAllah kalau niat betul, aku pun nak berkawan dengan korang.
Syaratnya, just don't fake.

Kepada yang terasa macam aku maksudkan dia dalam entri ni,
aku minta maaf.
Kalau korang nak exit dari mana-mana persahabatan palsu yang ada, aku terima.
Just don't pretend kita kawan padahal hakikatnya tidak.
Tapi kalau korang nak perbaiki hubungan yang ada, beritahu aku.
Biar kita sama-sama baiki dan matang bersama.
Aku tak mahu kita berperangai macam budak tadika.


You know,
perasaan hilang kawan lagi pedih sebenarnya daripada putus cinta.
Kau mungkin tak faham perasaannya sebab kau ada banyak kawan.






.

Friday, October 21, 2016

Lumat.



Aku tak pasti.
Tapi baru-baru ni aku ada perasaan TERsuka dekat seseorang.

Macam yang aku katakan, aku tak pasti.
Sebab kali terakhir aku suka dengan seseorang,
ia berakhir dengan stress dan rambut yang dengan meriahnya gugur.

Jadi kali ini aku tak pasti sama ada perasaan ini 'suka'
ataupun sekadar mekanisma untuk menutup lopong di dada.

Begitu mudah, kan, bertukar perasaan?
Suka berbeza dengan sayang.
Suka adalah satu proses.
Hari ini boleh melonjak ke 70%, esok boleh turun ke 30%.
Namun meletakkan angka pada perasaan kelihatan mudah.
Sebenarnya,
ia lebih rumit daripada kiub rubik 5x5.

Namun rasanya aku tak memiliki kapasiti untuk terus menyukai seseorang.

Macam berkali-kali aku ulangi,
aku tiada apa untuk ditawarkan.
Bukan merendah diri, bukan tiada keyakinan diri
tapi aku sedar diri.

Kaki aku masih berpijak pada realiti,
bukan fantasi ciptaan organ 5 tahil 2 kati.

Maka,
jalan paling baik dan memudahkan semua orang adalah
aku terpaksa abai perasaan aku.
Tahan, tekan sampai lumat.
Mungkin kalau bernasib baik, ia akan hilang
dan aku boleh terus pakai topeng senyum di wajah.

Isunya,
adakah jalan tersebut baik dan mudah untuk aku?


Hidup sangat susah.
Tapi susahnya hidup itulah yang membuatkannya menarik.

Mari lihat apa pula perasaan ini akan rasa esok hari.




.

Saturday, February 27, 2016

Suka.


Salam.

Someone told me that she like me.
But she don't even know me.
How can you like someone you don't know?

Adakah awak suka saya, atau suka cEro?
Cuba tanya diri sendiri dulu.
Jawapannya bukan pada saya, tapi pada awak.

Monday, December 21, 2015

Penat.


Salam.

Okey, here's a thing.
Budak sekolah menengah kata subjek Matematik Tambahan sangat susah.
Budak U kata subjek calculus sangat susah.
Tanya budak engineering, dia kata Mathematics for Engineering lagi susah.
Budak fizik akan khabar Quantum Mechanics is out of this world.
Tapi tahukah anda apa yang lagi susah?

Nak berpegang kepada prinsip sendiri.

As starting from 2013,
I've decided to totally separate my 'cEro' life from my personal life.
Aku ulang frasa di atas banyak kali dah, tapi tetap ramai tak faham.
Or tak nak faham.

You know cEro, you'll never know the person behind 'cEro'.
Aku jadikan itu prinsip aku, yang pada aku SANGAT susah nak pegang.
Aku suka berjumpa kenalan baru,
dan dalam masa sama perkukuhkan hubungan dengan kenalan lama.

Walaupun susah, tapi aku dapat pegang prinsip itu tanpa gagal...

...hinggalah hari ahad lepas (20 Disember 2015).



Ceritanya aku hendak mendapatkan sesuatu daripada seorang blogger ini.
Aku set tarikh hari itu untuk berjumpa,
tapi niat aku adalah untuk hantar proxy aku merangkap roommate supaya yang berjumpa dengan blogger itu bukanlah cEro, tapi orang lain since aku sendiri pun ada hal waktu tu.
So dengan itu aku masih dapat berurusan dengan manusia lain tanpa menggugat prinsip hidup, dan tanpa mengganggu kehidupan sebenar aku, sebab pada aku kalau aku langgar prinsip hidup aku sendiri, aku seorang yang gagal.

Mr. Proxy bersetuju sepenuhnya.
Aku merancang satu plan yang sangat lancar tanpa masalah.

Tapi aku manusia,
aku hanya mampu merancang, tapi bukan aku yang tentukannya.

Di hari kejadian (20 Dis),
Mr. Proxy ada hal kecemasan yang sangat tak dapat dielakkan melibatkan keluarga sedangkan berita itu hanya diberitahu kepadanya pada saat-saat terakhir.
Mr. Proxy tak dapat ganti aku untuk berurusan dengan blogger itu.
Masa pula terlalu suntuk untuk aku merancang plan gantian.
Plan yang ada hanyalah aku pergi sebagai cEro dan tidak gunakan proxy.

Jadi aku berbelah bahagi antara janji dengan prinsip.

Nak ikut prinsip, aku tak mahu jumpa sesiapa sebagai cEro.
Nak ikut janji, aku dah janji dengan blogger itu untuk berurusan.

Prinsip atau janji?
Prinsip atau janji?
Prinsip atau janji?

Disebabkan prinsip hanya melibatkan aku,
tetapi janji melibatkan orang lain,
maka aku pilih janji.

Aku buat keputusan untuk bertemu dengan blogger itu atas kapasiti cEro.

Dan itu bukannya pilihan yang mudah.
Aku rasa hati aku terkoyak.
Aku gagal sebagai manusia.
Aku gagal sebagai lelaki.
Aku gagal sebagai cEro.

That day supposed to be fun, meeting new people and all.
Tapi rasanya aku tak rasa fun itu walaupun ia ada.

Ini mungkin bukan masalah besar untuk orang lain
tapi untuk aku, ianya besar.
Prinsip yang aku buat untuk diri sendiri telah aku langgari.

But I'm glad aku pilih janji.
Sebab tidak tepati janji itu sifat munafik.



Namun aku dapat tahu tindakan aku melanggar prinsip ini melukakan hati seseorang.
Seseorang yang istimewa.
Dia tak marah, tapi dia kecewa.

Pada aku, sangat understandable kenapa dia kecewa,
tapi kenapa dia tak fikir pada tempat aku?
The one yang perlu langgar prinsip adalah aku, bukan dia.
So, kenapa dia tak fikir apa yang aku rasa but instead dia buat andaian membuta tuli?

Sebab dia istimewa, aku mahu lakukan sesuatu yang istimewa untuk dia.
Tapi kalau dia nak aku layan dia sama dengan orang lain, so be it.
Aku akan layan sama macam orang lain.

Pada aku, sudahlah aku gagal sebagai manusia yang berprinsip,
nak tambah lagi beban perasaan daripada orang yang langsung tak nak cuba memahami.

I'm just tired.
Being cEro supposed to be fun, but now it's just tiring.
Aku penat.





.

Thursday, December 10, 2015

Profile.


Salam.

Aku rasa aku pernah beritahu di dalam blog cErolian yang aku ni rabun sejak umur 12 tahun tapi atas sebab-sebab tertentu, aku tak pakai cermin mata sampailah aku tamat sekolah menengah. Entri mana satu aku malas nak selak balik.

Jadi persoalannya, macam mana aku survive school days?
Maksud aku, dah laa rabun, pembelajaran dalam kelas memang jadi satu masalah.
Kehidupan sosial aku pula macam mana?

Bab pelajaran, apa yang aku boleh buat ialah berusaha dua, tiga kali ganda dari orang biasa. Alhamdulillah, setakat ni rasanya tak ada masalah kot. Walaupun result aku bukanlah bombastik sangat sampai boleh tayang slip keputusan peperiksaan sambil tersenyum masuk paper, aku rasa okey je kot.

Tapi bab sosial ada masalah sikit.
Disebabkan aku rabun, satu kelemahan aku ialah aku tak dapat cam muka orang.
Macam tipikal orang Melayu tak dapat nak cam muka artis Kpop sebab semua muka lebih kurang sama, tapi aku lagi teruk sikit. Aku tak boleh cam semua orang tak kira melayu cina india kpop mat saleh, kecuali selepas pertemuan keempat atau kelima. Kadang-kadang jumpa tiap-tiap hari pun tetap tak boleh cam. Teruk sungguh.

Jadi, untuk menangani kelemahan tersebut, aku develop satu kemahiran aku sendiri yang aku beri nama 'mental profiling'. Kemahiran ini tak datang serta merta, tapi aku develop dalam high school days aku lima tahun mata rabun tu sedikit demi sedikit.

Aku tak pasti wujud ke tidak istilah 'Mental Profiling' ni sebab aku yang reka sendiri. Mungkin wujud dan mungkin ada bawa pengertian yang lain tapi Mental Profiling aku ni bererti, tiap kali pertama aku bertemu dengan seseorang, disebabkan aku tak akan dapat cam muka dia, aku akan rakam segala ciri-ciri sekunder dia yang lain seperti contoh pakaiannya, bentuk tubuh, cara percakapan, slang, lenggok berjalan, dan kalau yang sedikit ekstrim, bau. Semua ciri-ciri ini akan aku simpan dalam otak dan kalau masa depan aku bertemu lagi dengan orang itu, serta merta akan keluar balik ingatan aku tentang dia, sekaligus aku boleh ingat nama dia walaupun aku tak cam muka dia.

Dengar hebat, tapi mana-mana data yang masuk dan tidak diusik untuk seberapa ketika akan lesap dimamah lupa, so skil aku ni tak lah hebat mana.

Setakat 5 tahun sekolah menengah aku, tak jadi masalah.
Semuanya berjalan dengan lancar, dibantu dengan kehidupan asrama yang tiap-tiap hari nampak muka sama.

Pada mulanya aku ingat mental profiling tu aku sendiri yang ada, rupanya orang lain pun ada juga, tapi sama ada dalam separa sedar atau tidak sedar sedangkan aku latih diri sendiri. Pernah tak korang tengok belakang seseorang dan terfikirkan ianya seperti belakang badan seseorang lain yang korang kenal? Pernah tak korang kata gaya pemakaian si polan ni sama macam kawan kau yang sudah lama tak jumpa? Pernah tak kalian rasa macam suara seseorang itu macam pernah korang dengar tapi tak pasti di mana?

Itu semua (pada aku) adalah mental profiling yang tak dilatih.
Dengan kata lain, semua orang mampu buat, tapi tak semua orang sedar.

Mental profiling menjadi lebih terkesan di zaman internet di hujung jari.
Kita dihidang dengan profil maya setiap jenis manusia. Dari myspace, friendster, facebook, twitter, instagram, kita dihidang dengan gambar profil dan maklumat diri yang pada dasarnya adalah pengganti kepada diri sendiri walaupun sebenarnya tidaklah tepat mana.

Sebagai contoh, aku.
Aku sebagai cEro menekankan mempunyai rambut hitam yang bersimpul di depan dan sering pakai baju kuning berseluar biru sedangkan realitinya profil itu langsugn tidak tepat dengan aku yang sebenar (walaupun rambut bersimpul itu sedikit betul). Bila korang baca blog aku korang akan sedikit demi sedikit develop mental profiling tentang cEro dan sampai satu tahap, korang akan ada profil cEro yang ideal dalam kepala otak korang.

Tapi itulah kelemahan mental profiling.
Mental profiling ada kelemahan yang nyata iaitu kita akan bersifat judgmental.

Disebabkan kita ada profil seseorang dalam mental kita, apabila kemudian kita berjumpa dengan orang itu, sebelum apa-apa lagi kita dah assume dia macam-macam sedangkan manusia adalah satu entiti yang sangat tak stabil, boleh berubah pada bila-bila masa. Jika profil si A pada satu masa dahulu kita label dia sebagai nakal, selepas 2-3 tahun berjumpa kembali, kita mungkin akan tetap label dia nakal padahal kemungkinan sekarang dia sudah alim, warak dan tawaduk.

Disebabkan sifat judgmental sangat tidak baik (pada aku) dan aku sendiri tak suka di-judge, so aku rasakan aku perlu sekat kemahiran mental profiling aku sedikit demi sedikit. Sebab itu bila tamat sekolah menengah, aku decide untuk pakai cermin mata. Bila pakai cermin mata, aku mungkin akan jadi lebih normal dan boleh cam orang tanpa ada sebarang masalah.

At least itu apa yang aku fikirkan.

Namun,
disebabkan sudah jadi kebiasaan memprofil orang, bila kini aku sudah ada 'mata' selepas pakai cermin mata, aku ada obsesi untuk melihat muka orang, terutamanya ekspresi. Kalau korang layan cerita TV 'Lie To Me' satu ketika dulu korang akan tahu macam mana para watak dalam cerita itu dapat detect sama ada orang itu tipu atau tak hanya guna ekspresi muka. Itu diorang panggil 'Micro-expression'.

Tapi skil aku tak sehebat itu. Aku harap aku sehebat itu, tapi aku tahu sekelumit pun aku tak sama dengan mereka.

Tapi aku hebat dalam mentafsir satu ekspresi muka, disappointment. Kekecewaan.

Aku ingat lagi aku dapat lihat muka kekecewaan mak aku bila satu waktu tu aku tolak tawaran belajar ke universiti yang famous disebabkan kursus yang ditawarkan itu aku tak minat. Aku tahu mak aku cuba jadi supportive dan sedaya upaya nak sembunyikan kekecewaan dia tapi aku tetap nampak dengan jelas di wajah dia.

Banyak lagi contoh lain yang aku tak dapat nak bagitahu, tapi aku nak tekankan di sini aku terlalu senang nak detect muka kecewa orang sehinggakan aku sendiri affected dengan kekecewaan itu. Tiap kali aku nampak muka kecewa, aku dapat rasa hati aku macam kena toreh perlahan-lahan. Sakit. Tapi tak dapat nak luah.

Sehinggalah pada suatu hari ada beberapa kawan blogger minta untuk berjumpa, minum-minum. Aku terima dengan tangan terbuka tanpa memikirkan apa yang mungkin bakal terjadi. Apa yang berlaku ialah sebaik sahaja kali pertama aku bertemu mereka, ternampak jelas ekspresi kekecewaan di wajah mereka.

Aku tak pasti dari mana kekecewaan itu datang, sama ada ianya secara tidak sengaja atau di luar kawal, tapi aku dapat assume yang mereka dari awal sudah ada mental profile tentang aku hasil dari bacaan blog aku. Mungkin pada mereka aku lebih kacak dari sepatutnya dan lebih mesra dari sepatutnya dan lebih menarik dari sepatutnya berdasarkan pembacaan mereka di blog sedangkan aku pada realitinya waktu itu adalah seorang yang senyap dan pendiam dan tidak mesra dan cakap sepatah balas sepatah.

Mungkin dari situlah datangnya kekecewaan di muka mereka.

Dan kejadian itu bukan sekali dua, tapi berkali-kali berlaku setiap kali aku mahu berjumpa dengan orang lain secara nyata dengan menggunakan nama cEro. Tiap kali itulah juga akan aku nampak kekecewaan di muka mereka.

Salah akukah dengan memberi gambaran yang salah tentang watak cEro dalam blog sedangkan aku yang sebenar tidak seperti itu? Bukankah itu fungsi sebenar avatar di internet, dengan menjadi orang lain tanpa dihukum? Patutkah aku terus menerima sakitnya melihat wajah kecewa korang tiap kali kita bertemu muka?

That's why, tuan-tuan dan puan-puan, bermula 2013 aku buat keputusan untuk mengasingkan cEro dan realiti sebenar siapa aku secara total. Sesiapa yang bernasib baik dapat kenal aku sebelum 2013, aku berharap dapat terus simpan rahsia aku sebagai cEro. Yang kenal cEro selepas 2013 dan berhasrat nak kenal aku secara realiti, aku nasihatkan batalkan niat korang. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat muka kecewa korang apabila melihat aku tidak seperti mental profile korang harapkan sebelum ini.

Kalau ada yang betul-betul nak kenal aku yang sebenar, satu nasihat aku. Cari aku, kenali diri aku, dan berkawan dengan aku sebagai aku yang sebenar, bukannya sebagai cEro. Korang akan tahu betapa aku ini seorang yang bosan. cEro is just a name. Aku boleh pindah milik nama cEro itu kepada sesiapa sahaja yang mahukannya.

Tahu tak betapa peritnya hidup bila satu ketika kau rabun dan tak nampak dunia tapi bila kau dah nampak dunia, kau harapkan dunia itu indah padahal apa yang kau nampak hanyalah wajah kekecewaan mereka-mereka yang ada ekspektasi tinggi melangit terhadap kau? Tahu tak pedihnya? Tahu tak?

You can expect much from cEro, but don't expect much from the man behind cEro.

Sekian.






.

Thursday, March 5, 2015

Vanila.




Bila aku baca balik entri Kisah Aiskrim,
aku dapati daripada komen bahawa mereka yang membacanya melayan cerita tersebut seperti sebuah luahan perasaan seseorang.

Dan seseorang yang dianggap itu tentulah si pemilik blog.

Walaupun aku berani jamin bahawa cerita itu sepenuhnya fiksyen,
tapi rasanya sesebuah fiksyen adalah lebih dapat difahami intipatinya apabila disuntik sedikit realiti dan kebenaran ke dalam jalan ceritanya.

Seperti penipuan.
Kebanyakan penipuan terselit sedikit kebenaran.

Tapi itu bukanlah yang menarik minat aku untuk menulis di sini.
Apa yang menarik minat aku adalah majoriti yang tinggalkan komen ada menyebut,
"Aiskrim bukan satu perisa sahaja. Banyak lagi perisa lain di luar sana.."

Yup,
I got the point there.
Tapi itu mengingatkan aku kepada perbualan aku dengan seorang kawan suatu masa tidak lama lalu.

"Bro, soal jodoh ni jangan memilih."
Itu kata-kata dia yang buatkan aku terdiam beberapa saat.

Sudah tentu aku kena memilih dalam soal jodoh.
Bakal isteri aku yang aku pilih itu bakal menjadi peneman hidup aku sehingga ke akhir hayat dan seterusnya insyaAllah ke syurga Allah.
Bakal isteri aku yang aku pilih itu bakal menjadi ibu kepada anak-anak aku yang merupakan penerus zuriat aku di muka bumi ini.
Bakal isteri aku yang aku pilih itu perlu mengurus segala baik buruk aku, makan minum aku, jaga pakai aku, sakit tidur aku, zahir batin aku dan macam-macam lagi.

Sudah tentu aku mahu memilih bakal isteri yang terbaik.

Jadi bila dikata 'jangan memilih'
ianya seolah-olah kalau satu hari si isteri itu bukanlah yang terbaik, maka aku boleh buang dan cari yang baru.
Bukankah itu zalim namanya?

Sebut tentang zalim,
dalam Kisah Aiskrim itu, si Aiskrim Vanila menolak si Aiskrim Coklat kerana hatinya masih mengingati si Aiskrim Strawberi.
Apa yang para pembaca nampak cuma 'yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran'.
Tapi,
pada hemat aku pula,
si Aiskrim Vanila sedang melakukan sesuatu yang tepat.

Jika si Aiskrim Vanila menerima si Aiskrim Coklat di saat dia masih mengingati si Aiskrim Strawberi, bukankah si Aiskrim Vanila seperti sudah bertindak zalim terhadap si Aiskrim Coklat?

It will be not pure love.
Itu namanya rebound.
REBOUND.
Mengisi kekosongan di jiwa dengan mengambil sesiapa sahaja yang ada pada ketika itu.
Bukankah itu zalim?
Bukankah itu namanya menganiaya si Aiskrim Coklat.

Bak kata orang,
'Time heals all wounds'
Bukankah selepas satu waktu bandul berhayun
si Aiskrim Vanila berkeputusan untuk move forward?
Cuma tindakannya untuk bermula dengan mencari semula si Aiskrim Coklat dikira terlambat.
Namun, si Aiskrim Vanila masih dapat kekalkan komposisi dan terus tersenyum.

Pada aku,
itu adalah jalan terbaik yang mampu si Aiskrim Vanila lakukan.

Bagi yang tidak pernah rasa,
luka di hati mengambil masa untuk pulih semula.
Dan sesetengah luka akan meninggalkan parut.
Dan sesetengah parut akan kekal selamanya.

Dan bagi metafora penggunaan aiskrim sebagai watak,
aku rasa ianya sangat sesuai.

Walaupun kita tahu adanya aiskrim perisa strawberi, perisa coklat, perisa lemon di luar sana, tapi rasanya aiskrim perisa vanila sepenuhnya tiada.

Perisa vanila selalunya datang bersama perisa lain;
contohnya coklat dan vanila, lime dan vanila, strawberi dan vanila.
Aiskrim vanila sepenuhnya memang tiada.

Dan (hanya sebagai info) vanila adalah herba kedua termahal di dunia selepas safron.

Bukan aku mahu katakan bahawa si Aiskrim Vanila itu rare,
tapi aku mahu tekankan bahawa sebagai Vanila sendirian, dia adalah useless.
Tapi sebagai teman, vanila mampu menaikkan rasa perisa lain,
termasuklah strawberi, coklat, lime dan lain-lain.

Seperti angka kosong.
Berdiri angka kosong sendiri tiada nilai.
Tapi apabila angka kosong berada di belakang angka satu, nilai angka satu melonjak sepuluh kali ganda.

Jadi, yes.
Vanila adalah angka kosong.



.

Wednesday, February 4, 2015

Realiti.



Otak aku tak pernah berhenti berfikir.
Lumrah, bukankah itu yang dinamakan manusia?

Setiap kali aku bertentang mata dengan kenalan perempuan,
aku selalu terbayangkan bagaimana jika si dia sebagai peneman hidup aku.

Apa akan berlaku jika kami bersama?
Adakah aku mampu bertugas sebagai suami?
Adakah dia mampu bertindak sebagai isteri?

Adakah dia memang tercipta dari rusuk kiri?

Adakah kami bahagia?
Adakah kami bertolak-ansur?
Adakah kami berkekalan?
Apakah cabaran yang bakal mendatang?

Tiba-tiba realiti datang memijak.
Aku tersedar,
itu semua angan-angan terlajak.

Aku belum layak untuk sesiapa.
Kerjaya aku tidak stabil.
Kewangan aku tidak selalu hadir.
Tiada rumah, tiada kereta sendiri.
Bagaimana aku nak bertanggungjawab sebagai suami?

Aku sendiri tidak mampu menjaga diri,
bagaimana layaknya aku memiliki isteri?

Realiti yang menghentam sangat dahsyat.
Menarik segala keyakinan diri menjunam ke tebing yang gayat.

Walaupun punya hati, tapi aku tidak berani.
Aku tidak layak memiliki, dan tidak layak dimiliki.

Mereka kata self-esteem aku rendah.
Mereka kata aku main tarik tali.
Hakikatnya bukan self-esteem rendah, tapi aku yang lemah.
Realitinya bukan main tarik tali, tapi aku yang tidak berani.

Melihat imej sang isteri yang hanya tinggal bayang,
seorang demi seorang aku lihat hilang.
Mereka pergi mereka lari.
Semuanya kerana aku tidak berani,
dan mereka tidak mahu tunggu lagi.

Lali. Aku sudah lali.
Melihat mereka pergi mencari bahagia sendiri.
Separuh hati gembira mereka bahagia.
Separuh lagi sedih kerana bukan aku bersama.

Selamat jalan kegiranganku.
Selamat berlayar di dalam bahtera bahagia
menempuh selat dan lautan duga.
Aku melambai dengan senyuman.
Kerana hanya itu yang aku mampu, wahai teman.

Kerana si penakut macam aku tidak layak.
Tidak layak.



.

Saturday, January 31, 2015

Januari.



Bulan pertama 2015 melabuhkan tirainya.
Satu per dua belas sudah kita melalui tahun ini.

Macam-macam berlaku.
Suka, duka, bosan, raian,
semuanya ada walaupun baru 31 hari.

Pengajaran utama yang aku pelajari Januari ini ialah:
People don't suddenly change. They lie.

Tiada orang yang mampu berubah tiba-tiba.
Perubahan itu sendiri satu proses.
Dan seperti proses yang lain, ianya memakan masa.

Jadi,
tiada siapa yang pagi tadi bodoh,
petang nanti sudah menjadi pandai bijaksana.

Tiada siapa yang semalam bencikan yogurt
tiba-tiba hari ini yogurt menjadi makanan kegemarannya.

Tiada siapa yang minggu lepas hodoh,
minggu ini jadi cantik dan kacak bergaya.

Tiada siapa yang bulan lepas sukakan seseorang,
bulan ini sukakan orang yang lain pula.

Kalau ada,
sama ada ianya satu proses yang sudah sekian lama berlaku,
ataupun dia menipu.

Manusia tidak berubah secara tiba-tiba. Manusia menipu.







.

Sunday, November 23, 2014

Stoned.




Jadi,
beberapa minggu lepas aku layan rancangan Jimmy Fallon.
Dia jemput Emma Stone sebagai tetamu.
Yang ikut blog cErolian aku tentu tahu betapa sukanya aku dekat Emma Stone ni.
Aku mula suka Emma Stone semenjak mula-mula aku tengok Zombieland dulu.
Sejak dari cerita itu, mata aku sentiasa mengikut jejak karier Emma Stone sampailah sekarang.

Sukanya aku pada Emma Stone bukan sekadar sukanya seorang peminat kepada artis kegemarannya.
Aku suka Emma Stone sehingga tahap aku menyimpan hasrat nak menjadikan dia isteri walaupun aku tahu ialah setaraf dengan kemustahilan kucing bertanduk.

Dijadikan cerita,
selepas menonton Emma Stone dalam Program Jimmy Fallon ni,
aku didatangi dengan satu soalan cepu emas (dari diri aku sendiri):

'KENAPA AKU SUKA EMMA STONE?'

Walaupun Emma Stone cantik, tapi kita semua tahu ada beribu lagi artis dan selebriti di luar sana yang sama cantik, malah lebih cantik dari Emma Stone sendiri.
Kenapa aku tak suka mereka sesuka aku suka Emma Stone?
Kenapa Emma Stone?
Apa yang ada pada Emma Stone sampai aku tidak suka yang lain sesuka aku pada Emma Stone?

Untuk menjawab soalan itu,
aku didatangi lagi dengan soalan berkaitan yang seterusnya...

'KENAPA AKU SUKA PADA PARA BEKAS(-BEKAS) KEKASIH AKU DULU?'

Aku sedia maklum mereka yang pernah menjadi sejarah cinta dalam hidup aku semuanya bukanlah di kalangan mereka yang super-cantik.
Ya, mereka cantik.
Tapi ramai lagi yang cantik. Kenapa aku pilih mereka?
Kenapa mereka?
Apa yang ada pada mereka sampai aku tidak suka yang lain sesuka aku pada mereka?

Dahagakan jawapan,
aku terpaksa singkap balik memori lama aku bersama mereka.
Memori sedih, memori gembira, memori pedih, memori bersama,
semua aku kenang balik.

Apa persamaan antara mereka-mereka ini dengan Emma Stone?

Ianya tugasan yang susah.
Disebabkan memori manusia kebanyakannya disimpan dalam bentuk visual, maka aku terpaksa harungi perasaan tertekan dan kemurungan dalam dua hari mencari jawapan....

Visual?
YA. VISUAL!

Sebabkan apa yang aku kenang itu hanyalah visual,
aku terlepas satu perkara penting....
iaitu....

AUDIO!

Kesemua mereka-mereka yang mempunyai sejarah cinta dalam hidup aku itu mempunyai persamaan yang nyata dengan Emma Stone, iaitu SUARA.

Kesemua mereka mempunyai julat suara yang lebih kurang sama, dan lebih kurang sama juga seperti suara Emma Stone.
Itu aku pasti.

Patutlah selama ini aku susah nak suka dengan perempuan cantik dengan hanya berpandukan visual.
Rupanya aku akan suka hanya bila aku dapat dengar suara dia.
Walaupun bunyi agak pelik dan kurang tepat,
tapi aku jatuh cinta pada suara melebihi rupa.
Walaupun rupa juga memainkan peranan, tapi suara juga berperanan cukup kuat dalam manipulasi perasaan hati aku.

Biar cantik mana pun seseorang itu,
aku takkan mula suka pada dia sebelum aku dengar suara dia.
Mungkin dia cantik, tapi kalau suara dia tidak menyenangkan aku,
ianya tiada makna.

Seronok bila dapat tahu serba sedikit tentang diri sendiri.
Dua hari bermurung untuk satu soalan trivia,
aku rasa ianya berbaloi.




Dan satu soalan lagi muncul...
Di bawah keadaan apa aku berpeluang untuk bertemu Emma Stone secara bersemuka?



.

Friday, June 6, 2014

Berubah.


Semua orang berubah...

Kau kata kau merayau atas tanah sendiri.
Tapi bila difikirkan
aku tidak rasa kau mampu.

Kau lelah, kau pecah
dan dari mata kau mengadu sakit.
Katanya semua orang berubah
dan aku tidak tahu mengapa.

Masa yang suntuk
untuk aku cuba memahami.
Cuba berbuat sesuatu hanya kerana mahu kekal di dalam percaturan;
Cuba terus berjaga dan terus dapat mengingati nama sendiri;
Tapi semua orang berubah
dan aku tidak rasa sama.

Kau hilang dari sini
dan nanti akan lenyap
tenggelam dalam cahaya indah.
Sebab semua orang berubah
dan aku tidak rasa sebegitu.

Masa yang suntuk
untuk aku cuba memahami.
Cuba berbuat sesuatu hanya kerana mahu kekal di dalam percaturan;
Cuba terus berjaga dan terus dapat mengingati nama sendiri;
Tapi semua orang berubah
dan aku tidak rasa sama.

Monday, May 5, 2014

Penyeri.

5 Mei.

Selamat hari lahir,
wahai si penyeri memori lama.
Suatu hari nanti,
dendam akan aku balas setimpal dengan sayang yang pernah aku dendangkan.
Lagipun,
kedua-duanya hanya terpisah dengan satu garis halus.

Monday, April 14, 2014

Terowong.


Seperti terowong gelap yang panjang,
kegelapan menyukarkan perjalanan.
Kadang-kadang terlanggar batu.
Kadang-kadang terpijak lopak air.
Belum kira busuk hancing dan tikus sana sini.

Tapi setiap terowong ada pengakhiran.
Sama ada lubang keluar yang bercahaya,
ataupun jalan buntu yang mati,
kita hanya tahu jika kita terus melangkah ke depan tanpa menghiraukan apapun halangan.

Seperti terowong gelap yang panjang,
itulah cabaran dalam kehidupan.


Friday, November 29, 2013

Telinga.

Aku ialah telinga.
Telinga yang sering mendengar masalah orang.
Walaupun kadang-kadang masalah itu berulang.
Aku tetap setia mendengar.

Tetapi,
siapa mahu jadi pendengar kepada telinga yang selalu mendengar?
Adakah telinga tiada masalah?
Adakah telinga hanya harus mendengar tanpa didengar?

Tolong.
Dunia aku dipenuhi dengan barisan watak utama dalam kehidupan masing-masing.
Tiada yang mahu mendengar watak tempelan seperti aku.

Tolong.

Thursday, September 19, 2013

Kanvas.


Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.

Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.

Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.

Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.

Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.


[130919 0021 3.069794 N, 101.716881 E]

Friday, October 12, 2012

Barang.

Barang itu.
Barang itu pernah aku pandang.
Barang itu pernah aku pegang.
Barang itu pernah aku tatang.
Tapi itu dulu.
Itu sewaktu ianya tersimpan rapi.
Itu sewaktu ianya menjadii misteri.
Sehinggakan aku gagal mengawal diri.

Tapi kini,
barang itu seperti perhiasan dunia.
Kau tayang sana sini ke mana sahaja.
Kau bayang atas bawah tak kira masa.
Kau canang luar dalam tak kenal siapa.

Aku agak keliru.
Sama ada aku perlu merasa bangga kerana mendapatnya sebelum mereka yang lain.
Atau aku patut menyesal kerana ianya menjadi begitu tidak berharga.

Sayangnya,
aku suka kau yang dulu.

Thursday, August 30, 2012

Trauma.


Wajah gembira hari ini.
Wajah sedih hari ini.
Kelemahan semalam.
Kekuatan hari ini.

Jika itu kamu, kepada siapa kamu tonjolkan?
Jika itu aku, kepada siapa aku persembahkan?

Kadang kala masa lalu
pergi dengan penuh kejam.
Tetapi dari kekejaman itu
terlahirnya masa kini.

Dengan gigih aku mencari
akan seseorang
yang mampu melepaskan
hati ini dari dibolosi ketakutan.

Sebagaimana aku gagal mengenalpasti bunga
yang menari di hujung kaki,
begitulah juga aku tak mampu menatap diri
pabila di hadapan cermin.

Wajah gembira hari ini.
Wajah duka hari ini.
Luka bertaut semalam.
Terbuka luas hari ini.

Jika itu kamu, kepada siapa kamu tonjolkan?
Jika itu aku, kepada siapa aku persembahkan?

Kewarasan dan kejununan
yang dikurnia adalah milikku --
Kedua-duanya wujud
tanpa menolak sesama sendiri.

Yang cabuk, yang tumpah,
dan yang sempelah...
Aku akan pilih dengan keazaman,
supaya aku tetap sebenar.

Kerana aku sentiasa
meletakkan definisi terhadap kegembiraan
dengan apa yang aku fahamkan.

Wajah gembira hari ini.
Wajah duka hari ini.
Walaupun luka bertaut semalam
terbuka luas hari ini.

Jika itu kamu, kepada siapa kamu tonjolkan?
Jika itu aku, aku mahu persembahkan kepada si dia.

Sunday, August 19, 2012

Raya.


Tahun demi tahun,
raya menjadi satu sambutan yang semkin tidak meriah.

Sama ada kerana aku semkin dewasa
atau persekitaran yang melemahkan
aku tak pasti.

Namun,
aku harap aku tidak terus merasakan raya itu kelat.
Ya, sekelat kopi yang aku lupa untuk sertakan gulanya.

Monday, August 13, 2012

Satu.


Perasaan waktu mendapat jemputan perkahwinan daripada bekas kekasih hati sangat tidak menyenangkan.

Namun,
oleh kerana kami berpisah secara (agak) baik
aku takkan mampu jadikannya alasan untuk tidak dihadiri.

Tapi,
melihat seseorang yang pernah menjadi nombor satu dalam hati
yang kini menjadi nombor satu kepada lelaki lain
duduk di atas pelamin yang pernah aku angankan memang bukan mudah.

Aku pasrah.
Sila tabah.

Wednesday, August 8, 2012

Mata.


Kadang-kadang,
ketika keseorangan,
aku duduk sendiri dan melihat sekeliling.

Alangkah indahnya alam ini,
alangkah banyaknya ilmu diperolehi,
jika aku tidak rabun seteruk ini.

Aku hilang nikmat.
Aku inginkannya kembali.

Sunday, August 5, 2012

Senyum.

Bila aku jumpa si dia yang aku suka
tapi aku tahu aku tak akan milikinya,
aku selalu tersenyum dan terbayang
bagaimana kalau-kalau mimpiku kenyataan.
Apa yang pasti, aku sentiasa doakan kebahagiaan dia.

Dan itu membuatkan aku tersenyum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...