Monday, December 21, 2015

Penat.


Salam.

Okey, here's a thing.
Budak sekolah menengah kata subjek Matematik Tambahan sangat susah.
Budak U kata subjek calculus sangat susah.
Tanya budak engineering, dia kata Mathematics for Engineering lagi susah.
Budak fizik akan khabar Quantum Mechanics is out of this world.
Tapi tahukah anda apa yang lagi susah?

Nak berpegang kepada prinsip sendiri.

As starting from 2013,
I've decided to totally separate my 'cEro' life from my personal life.
Aku ulang frasa di atas banyak kali dah, tapi tetap ramai tak faham.
Or tak nak faham.

You know cEro, you'll never know the person behind 'cEro'.
Aku jadikan itu prinsip aku, yang pada aku SANGAT susah nak pegang.
Aku suka berjumpa kenalan baru,
dan dalam masa sama perkukuhkan hubungan dengan kenalan lama.

Walaupun susah, tapi aku dapat pegang prinsip itu tanpa gagal...

...hinggalah hari ahad lepas (20 Disember 2015).



Ceritanya aku hendak mendapatkan sesuatu daripada seorang blogger ini.
Aku set tarikh hari itu untuk berjumpa,
tapi niat aku adalah untuk hantar proxy aku merangkap roommate supaya yang berjumpa dengan blogger itu bukanlah cEro, tapi orang lain since aku sendiri pun ada hal waktu tu.
So dengan itu aku masih dapat berurusan dengan manusia lain tanpa menggugat prinsip hidup, dan tanpa mengganggu kehidupan sebenar aku, sebab pada aku kalau aku langgar prinsip hidup aku sendiri, aku seorang yang gagal.

Mr. Proxy bersetuju sepenuhnya.
Aku merancang satu plan yang sangat lancar tanpa masalah.

Tapi aku manusia,
aku hanya mampu merancang, tapi bukan aku yang tentukannya.

Di hari kejadian (20 Dis),
Mr. Proxy ada hal kecemasan yang sangat tak dapat dielakkan melibatkan keluarga sedangkan berita itu hanya diberitahu kepadanya pada saat-saat terakhir.
Mr. Proxy tak dapat ganti aku untuk berurusan dengan blogger itu.
Masa pula terlalu suntuk untuk aku merancang plan gantian.
Plan yang ada hanyalah aku pergi sebagai cEro dan tidak gunakan proxy.

Jadi aku berbelah bahagi antara janji dengan prinsip.

Nak ikut prinsip, aku tak mahu jumpa sesiapa sebagai cEro.
Nak ikut janji, aku dah janji dengan blogger itu untuk berurusan.

Prinsip atau janji?
Prinsip atau janji?
Prinsip atau janji?

Disebabkan prinsip hanya melibatkan aku,
tetapi janji melibatkan orang lain,
maka aku pilih janji.

Aku buat keputusan untuk bertemu dengan blogger itu atas kapasiti cEro.

Dan itu bukannya pilihan yang mudah.
Aku rasa hati aku terkoyak.
Aku gagal sebagai manusia.
Aku gagal sebagai lelaki.
Aku gagal sebagai cEro.

That day supposed to be fun, meeting new people and all.
Tapi rasanya aku tak rasa fun itu walaupun ia ada.

Ini mungkin bukan masalah besar untuk orang lain
tapi untuk aku, ianya besar.
Prinsip yang aku buat untuk diri sendiri telah aku langgari.

But I'm glad aku pilih janji.
Sebab tidak tepati janji itu sifat munafik.



Namun aku dapat tahu tindakan aku melanggar prinsip ini melukakan hati seseorang.
Seseorang yang istimewa.
Dia tak marah, tapi dia kecewa.

Pada aku, sangat understandable kenapa dia kecewa,
tapi kenapa dia tak fikir pada tempat aku?
The one yang perlu langgar prinsip adalah aku, bukan dia.
So, kenapa dia tak fikir apa yang aku rasa but instead dia buat andaian membuta tuli?

Sebab dia istimewa, aku mahu lakukan sesuatu yang istimewa untuk dia.
Tapi kalau dia nak aku layan dia sama dengan orang lain, so be it.
Aku akan layan sama macam orang lain.

Pada aku, sudahlah aku gagal sebagai manusia yang berprinsip,
nak tambah lagi beban perasaan daripada orang yang langsung tak nak cuba memahami.

I'm just tired.
Being cEro supposed to be fun, but now it's just tiring.
Aku penat.





.

Thursday, December 10, 2015

Profile.


Salam.

Aku rasa aku pernah beritahu di dalam blog cErolian yang aku ni rabun sejak umur 12 tahun tapi atas sebab-sebab tertentu, aku tak pakai cermin mata sampailah aku tamat sekolah menengah. Entri mana satu aku malas nak selak balik.

Jadi persoalannya, macam mana aku survive school days?
Maksud aku, dah laa rabun, pembelajaran dalam kelas memang jadi satu masalah.
Kehidupan sosial aku pula macam mana?

Bab pelajaran, apa yang aku boleh buat ialah berusaha dua, tiga kali ganda dari orang biasa. Alhamdulillah, setakat ni rasanya tak ada masalah kot. Walaupun result aku bukanlah bombastik sangat sampai boleh tayang slip keputusan peperiksaan sambil tersenyum masuk paper, aku rasa okey je kot.

Tapi bab sosial ada masalah sikit.
Disebabkan aku rabun, satu kelemahan aku ialah aku tak dapat cam muka orang.
Macam tipikal orang Melayu tak dapat nak cam muka artis Kpop sebab semua muka lebih kurang sama, tapi aku lagi teruk sikit. Aku tak boleh cam semua orang tak kira melayu cina india kpop mat saleh, kecuali selepas pertemuan keempat atau kelima. Kadang-kadang jumpa tiap-tiap hari pun tetap tak boleh cam. Teruk sungguh.

Jadi, untuk menangani kelemahan tersebut, aku develop satu kemahiran aku sendiri yang aku beri nama 'mental profiling'. Kemahiran ini tak datang serta merta, tapi aku develop dalam high school days aku lima tahun mata rabun tu sedikit demi sedikit.

Aku tak pasti wujud ke tidak istilah 'Mental Profiling' ni sebab aku yang reka sendiri. Mungkin wujud dan mungkin ada bawa pengertian yang lain tapi Mental Profiling aku ni bererti, tiap kali pertama aku bertemu dengan seseorang, disebabkan aku tak akan dapat cam muka dia, aku akan rakam segala ciri-ciri sekunder dia yang lain seperti contoh pakaiannya, bentuk tubuh, cara percakapan, slang, lenggok berjalan, dan kalau yang sedikit ekstrim, bau. Semua ciri-ciri ini akan aku simpan dalam otak dan kalau masa depan aku bertemu lagi dengan orang itu, serta merta akan keluar balik ingatan aku tentang dia, sekaligus aku boleh ingat nama dia walaupun aku tak cam muka dia.

Dengar hebat, tapi mana-mana data yang masuk dan tidak diusik untuk seberapa ketika akan lesap dimamah lupa, so skil aku ni tak lah hebat mana.

Setakat 5 tahun sekolah menengah aku, tak jadi masalah.
Semuanya berjalan dengan lancar, dibantu dengan kehidupan asrama yang tiap-tiap hari nampak muka sama.

Pada mulanya aku ingat mental profiling tu aku sendiri yang ada, rupanya orang lain pun ada juga, tapi sama ada dalam separa sedar atau tidak sedar sedangkan aku latih diri sendiri. Pernah tak korang tengok belakang seseorang dan terfikirkan ianya seperti belakang badan seseorang lain yang korang kenal? Pernah tak korang kata gaya pemakaian si polan ni sama macam kawan kau yang sudah lama tak jumpa? Pernah tak kalian rasa macam suara seseorang itu macam pernah korang dengar tapi tak pasti di mana?

Itu semua (pada aku) adalah mental profiling yang tak dilatih.
Dengan kata lain, semua orang mampu buat, tapi tak semua orang sedar.

Mental profiling menjadi lebih terkesan di zaman internet di hujung jari.
Kita dihidang dengan profil maya setiap jenis manusia. Dari myspace, friendster, facebook, twitter, instagram, kita dihidang dengan gambar profil dan maklumat diri yang pada dasarnya adalah pengganti kepada diri sendiri walaupun sebenarnya tidaklah tepat mana.

Sebagai contoh, aku.
Aku sebagai cEro menekankan mempunyai rambut hitam yang bersimpul di depan dan sering pakai baju kuning berseluar biru sedangkan realitinya profil itu langsugn tidak tepat dengan aku yang sebenar (walaupun rambut bersimpul itu sedikit betul). Bila korang baca blog aku korang akan sedikit demi sedikit develop mental profiling tentang cEro dan sampai satu tahap, korang akan ada profil cEro yang ideal dalam kepala otak korang.

Tapi itulah kelemahan mental profiling.
Mental profiling ada kelemahan yang nyata iaitu kita akan bersifat judgmental.

Disebabkan kita ada profil seseorang dalam mental kita, apabila kemudian kita berjumpa dengan orang itu, sebelum apa-apa lagi kita dah assume dia macam-macam sedangkan manusia adalah satu entiti yang sangat tak stabil, boleh berubah pada bila-bila masa. Jika profil si A pada satu masa dahulu kita label dia sebagai nakal, selepas 2-3 tahun berjumpa kembali, kita mungkin akan tetap label dia nakal padahal kemungkinan sekarang dia sudah alim, warak dan tawaduk.

Disebabkan sifat judgmental sangat tidak baik (pada aku) dan aku sendiri tak suka di-judge, so aku rasakan aku perlu sekat kemahiran mental profiling aku sedikit demi sedikit. Sebab itu bila tamat sekolah menengah, aku decide untuk pakai cermin mata. Bila pakai cermin mata, aku mungkin akan jadi lebih normal dan boleh cam orang tanpa ada sebarang masalah.

At least itu apa yang aku fikirkan.

Namun,
disebabkan sudah jadi kebiasaan memprofil orang, bila kini aku sudah ada 'mata' selepas pakai cermin mata, aku ada obsesi untuk melihat muka orang, terutamanya ekspresi. Kalau korang layan cerita TV 'Lie To Me' satu ketika dulu korang akan tahu macam mana para watak dalam cerita itu dapat detect sama ada orang itu tipu atau tak hanya guna ekspresi muka. Itu diorang panggil 'Micro-expression'.

Tapi skil aku tak sehebat itu. Aku harap aku sehebat itu, tapi aku tahu sekelumit pun aku tak sama dengan mereka.

Tapi aku hebat dalam mentafsir satu ekspresi muka, disappointment. Kekecewaan.

Aku ingat lagi aku dapat lihat muka kekecewaan mak aku bila satu waktu tu aku tolak tawaran belajar ke universiti yang famous disebabkan kursus yang ditawarkan itu aku tak minat. Aku tahu mak aku cuba jadi supportive dan sedaya upaya nak sembunyikan kekecewaan dia tapi aku tetap nampak dengan jelas di wajah dia.

Banyak lagi contoh lain yang aku tak dapat nak bagitahu, tapi aku nak tekankan di sini aku terlalu senang nak detect muka kecewa orang sehinggakan aku sendiri affected dengan kekecewaan itu. Tiap kali aku nampak muka kecewa, aku dapat rasa hati aku macam kena toreh perlahan-lahan. Sakit. Tapi tak dapat nak luah.

Sehinggalah pada suatu hari ada beberapa kawan blogger minta untuk berjumpa, minum-minum. Aku terima dengan tangan terbuka tanpa memikirkan apa yang mungkin bakal terjadi. Apa yang berlaku ialah sebaik sahaja kali pertama aku bertemu mereka, ternampak jelas ekspresi kekecewaan di wajah mereka.

Aku tak pasti dari mana kekecewaan itu datang, sama ada ianya secara tidak sengaja atau di luar kawal, tapi aku dapat assume yang mereka dari awal sudah ada mental profile tentang aku hasil dari bacaan blog aku. Mungkin pada mereka aku lebih kacak dari sepatutnya dan lebih mesra dari sepatutnya dan lebih menarik dari sepatutnya berdasarkan pembacaan mereka di blog sedangkan aku pada realitinya waktu itu adalah seorang yang senyap dan pendiam dan tidak mesra dan cakap sepatah balas sepatah.

Mungkin dari situlah datangnya kekecewaan di muka mereka.

Dan kejadian itu bukan sekali dua, tapi berkali-kali berlaku setiap kali aku mahu berjumpa dengan orang lain secara nyata dengan menggunakan nama cEro. Tiap kali itulah juga akan aku nampak kekecewaan di muka mereka.

Salah akukah dengan memberi gambaran yang salah tentang watak cEro dalam blog sedangkan aku yang sebenar tidak seperti itu? Bukankah itu fungsi sebenar avatar di internet, dengan menjadi orang lain tanpa dihukum? Patutkah aku terus menerima sakitnya melihat wajah kecewa korang tiap kali kita bertemu muka?

That's why, tuan-tuan dan puan-puan, bermula 2013 aku buat keputusan untuk mengasingkan cEro dan realiti sebenar siapa aku secara total. Sesiapa yang bernasib baik dapat kenal aku sebelum 2013, aku berharap dapat terus simpan rahsia aku sebagai cEro. Yang kenal cEro selepas 2013 dan berhasrat nak kenal aku secara realiti, aku nasihatkan batalkan niat korang. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat muka kecewa korang apabila melihat aku tidak seperti mental profile korang harapkan sebelum ini.

Kalau ada yang betul-betul nak kenal aku yang sebenar, satu nasihat aku. Cari aku, kenali diri aku, dan berkawan dengan aku sebagai aku yang sebenar, bukannya sebagai cEro. Korang akan tahu betapa aku ini seorang yang bosan. cEro is just a name. Aku boleh pindah milik nama cEro itu kepada sesiapa sahaja yang mahukannya.

Tahu tak betapa peritnya hidup bila satu ketika kau rabun dan tak nampak dunia tapi bila kau dah nampak dunia, kau harapkan dunia itu indah padahal apa yang kau nampak hanyalah wajah kekecewaan mereka-mereka yang ada ekspektasi tinggi melangit terhadap kau? Tahu tak pedihnya? Tahu tak?

You can expect much from cEro, but don't expect much from the man behind cEro.

Sekian.






.

Sunday, October 18, 2015

Sarkastik.


Salam.

Baiklah.
Sebelum aku mula membebel panjang
biar aku jelaskan di sini bahawa ini bukannya sesi berdebat kerana debat selalunya akan berakhir dengan siapa salah siapa betul.
Ini sekadar aku suarakan pendapat.
Feel free to agree or disagree.
Tiada salah tiada betul dalam soal yang bakal aku tekankan ini.

Mula sekali,
lihat dan baca gambar di bawah:



Bagi yang perasan,
aku ada tweet gambar ni sabtu lepas (17 Oktober 2015).





So here's the thing.
Kita faham ini salah satu usaha dakwah untuk memanggil orang ramai untuk datang mengimarahkan masjid yang tidak dinafikan semakin kosong sekarang ni.
Aku terima ia sebagai satu usaha,
tapi yang aku persoalkan sekarang
adakah usaha ini tepat?

"Kreatif memang kreatif,
tapi jujurnya ada tak lelaki yg lepas baca ni terus pegi masjid tiap2 hari?"

Pada aku (secara peribadi)
banner ni lebih ke arah sindiran dan sarkastik.
Dan kalau kalian kenal aku,
kalian tahu pendapat aku tentang sarkastik, kan?

Sarkastik tidak pernah sesuai digunakan untuk menyeru kebaikan.


Bayangkan diri kita seorang yang jarang sangat ke masjid.
Bila baca banner ni, apa perasaan kita?
Adakah terasa dan lepas itu terniat nak ke masjid selalu?
Ataupun sekadar terasa dan 5 minit kemudian dilupakan?
Atau tak terasa langsung, sekadar ketawa, snap gambar dan share dalam media sosial tanpa tindakan susulan?


Bayangkan pula yang baca ini seorang ibu
yang pernah satu ketika dulu kehilangan anak tersayang.
Mungkin diculik, mungkin dilarikan atau mungkin kematian.
Perasaan melihat statement utama banner yang memohon bantuan kes kehilangan
sekaligus mengingatkan kembali perasaan sendiri suatu ketika dulu merasakan kehilangan juga.

Tapi rupanya bila baca hingga habis
hanya sekadar promosi masjid.


Bayangkan sekali lagi kalau yang baca ini bukan muslim.
Bila lalu di tepi jalan ternampak banner meminta pertolongan kes hilang
dengan semangatnya berhenti dan baca,
mana tahu sebagai seorang yang prihatin mahu membantu kalau-kalau terjumpa,
atau paling kurang boleh tolong viralkan dalam laman media sosial.

Rupanya....?


Apa sebenarnya niat pembuat banner tersebut?
Menggunakan isu sensitif seperti ini di kala berturut-turut kejadian anak diculik, orang sesat, orang hilang dan mati pada aku (secara peribadi) sedikit tidak tepat.
Untuk suka-suka?
Ingat lagi dulu seorang artis buat lawak ultraman ketika Jepun dilanda tsunami atas alasan sekadar suka-suka?



Ya.
Kita tak tahu hati orang lain.
Mana tahu ada yang dapat hidayah bila baca banner ni
seterusnya berusaha dan istiqamah pergi ke masjid setiap waktu solat.
Kalau ada, ALHAMDULILLAH.
Syukur.
Orang berubah bererti kemenangan kepada agama
walaupun hanya seorang.

Tapi sekali lagi aku tanya,
adakah cara sarkastik itu tepat?
Adakah usaha ini tepat?

Banyak cara boleh dilakukan untuk meramaikan umat di masjid.
Apa yang perlu ahli jawatankuasa masjid lakukan
hanyalah berfikiran sedikit terbuka dan jangan terlalu ikutkan norma.

Dan berfikiran terbuka bukan ikut cara orang sekarang dengan menggunakan sarkastik dan sindiran.

Apa salahnya jalankan pertandingan futsal di perkarangan masjid setiap hujung minggu?

Apa salahnya sebulan sekali buat peraduan melukis atau mewarna supaya kanak-kanak yang datang dapat semai dalam diri bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadah semata-mata?

Tiada peruntukan?
Mana pergi duit tabung derma harian dan hari jumaat yang tiap-tiap minggu ditulis jumlah kutipannya di papan kenyataan masjid?
Nak kata buat bayar imam dan bilal,
tak silap aku imam dan bilal dapat elaun sendiri dari jabatan agama negeri masing-masing.
Nak kata duit itu buat baik pulih masih, kipas angin dekat tingkat dua masjid dari tahun 2008 lagi tak tahu ke mana bilahnya...


Pada aku (secara peribadi, sekali lagi)
inilah masalah dengan institusi masjid kita.
Tidak terbuka dan berfikiran sempit.
Menolak pembaharuan menggunakan dalil bahawa Islam sudah merangkumi segala, zamani dan makani.

Yes. Masjid tempat beribadah.
Tapi ibadah bukan sekadar solat.
Ibadah itu cukup luas.
Even duduk diam sekalipun kalau kena caranya boleh dikira beribadah
apatah lagi kalau bermain futsal menyihatkan badan.

Sekali lagi aku suarakan.
Sarkastik tidak sesuai digunakan untuk menyeru kebaikan.
Dakwah sentap, tweet sentap, #MohonTerasa
kalian rasa itu cara yang baikkah?
Banyak lagi cara lain,
kenapa tidak gunakan cara hikmah?



Jadi,
apa pendapat kalian tentang banner tersebut?

Aku terbuka untuk mendengar sebarang pendapat,
tapi jangan paksa aku terima cara radikal kalian yang suka menggunakan sarkastik.






.

Thursday, October 15, 2015

ココロ


Salam.

Walaupun aku gelar diri sendiri sebagai peminat manga dan anime,
tapi bukan semua anime aku layan dan tengok.
Biasanya aku akan pastikan anime tersebut habis satu musim dahulu
barulah aku layan back-to-back sampai lunyai.

Dengan kata lain,
anime yang aku sedang layan bukanlah yang terkini.

Baru-baru ini aku layan anime dari tahun 2012 bertajuk
ココロコネクト (Kokoro Connect)

Berada di bawah genre 'Slice of Life' dan 'School',
aku expect anime ini macam tipikal anime biasa yang berlatarbelakangkan suasana sekolah menengah yang biasa.
Tapi aku terlepas pandang satu lagi genre dia, 'supernatural'.

Kisahnya berkisarkan tentang 5 sahabat dari Kelab Kajian Kebudayaan yang masing-masing mempunyai isu dan perwatakan tersendiri. Seorang bersifat sambil lewa dan selalu cakap lepas apa yang dirasakan, seorang ada isu dengan lelaki akibat pengalaman silam, seorang mempunyai trust issue sehingga menyembunyikan perasaan sebenar, seorang sedang mencari diri sendiri dan seorang lagi mempunyai superhero complex; suka menyelesaikan masalah orang lain.

Mereka berlima terpaksa berhadapan dengan kuasa ghaib luar yang mampu mengawal apa sahaja atas alasan 'untuk berseronok' yang mengganggu kehidupan hanya mereka berlima. Namun kerana kuasa persahabatan, mereka mampu menempuh segala cabaran walaupun dugaannya bukan semudah yang mereka sangka.

Kenapa aku berminat nak bercerita tentang anime ini?

Salah satu daripada mereka berlima memberi kesan kepada aku.
Cuba teka yang mana satu?




Ya. Tepat sekali.
Yang sedang mencari diri sendiri.

Entahlah.
Aku jarang terkesan dengan anime (mungkin sebab sudah selalu tonton)
tapi kali ini, ココロコネクト sangat memberi kesan kepada aku.

Kalian tahu tak betapa susahnya setelah sekian lama kalian berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk orang sekeliling dan akhirnya bila kalian sedar, kalian sudah tidak tahu mana satu adalah diri kalian yang sebenar, mana satu jati diri yang sebenar?

Hanya yang pernah laluinya sahaja tahu rasanya.

Berapa banyak kisah silam yang kalian rasa
"Eh, aku patut buat begini..."
"If only I did it like this back then..."
"Ini satu kesilapan, aku harap boleh undur masa dan ubah..."
dan akhirnya menjadi satu sesalan yang kita bawa ke masa depan.

Tapi yang sangat terkesan kepada aku ialah
anime ini menekankan bahawa tidak kira apa kesalahan, kesilapan dan keputusan yang kita buat dan sesali di masa silam, itulah yang menjadikan kita pada hari ini.
Dengan kata lain, tanpa masa silam sebegitu
kita tak akan jadi sebegini,
tidak kira hasilnya baik aku sebaliknya.

Kita adalah produk kepada diri kita yang lepas.


Secara peribadi,
apa yang aku perlu lakukan adalah terus maju untuk menjadi yang lebih baik.
Bukannya menjadi yang lain dari diri sendiri
tapi menjadi aku yang lebih baik.

Ianya sesuatu yang sering kali aku tekankan tidak kira dalam blog cErolian, dalam twitter mahupun dalam Buku KAMI!,
tapi seperti yang aku cakap (tulis) tadi,
hanya orang yang pernah melaluinya sahaja faham perasaannya bagaimana.

Jarang anime memberi kesan kepada aku,
tapi kali ini, aku sangat bertuah kerana aku tonton anime ini tepat pada masa aku sedang mencari diri sendiri.

Cuma bezanya aku hadapi seorang diri
berbeza dengan watak dalam anime ini yang menghadapinya berlima.

Good luck, cEro pada masa depan! You can do it!








.

Tuesday, October 6, 2015

Struggle.




"When you want something, you'll lose something..."


Setelah buat keputusan nekad untuk mengejar satu cita-cita aku,
aku dapati kehidupan aku sedikit berubah.

Aku yang dulunya hanya berserah dan ikut arus yang dibawa kehidupan
kini menjadi semakin fokus dan sentiasa berfikir depan.

Goal-oriented. Purposed.

As for towarding my goal is concerned,
aku lebih fokus kepada proses mengumpul dana kewangan
kerana nak sambung belajar bukannya percuma,
apatah lagi dengan aku yang tak layak untuk sebarang tajaan dan pinjaman ini.

So,
setiap tindakan yang aku buat,
aku akan nilai sama ada ianya financially good ataupun lebih kepada merugikan.
Dengan kata lain, setiap yang aku buat, aku akan berkira.

Makan pagi aku dulu selalunya aku tibai berdasarkan selera,
kini aku kira berapa kalori aku perlu sehari dan aku beli menu sarapan yang paling murah dengan jumlah kalori yang aku perlukan.

Sounds good, right?
Planning for future is good, right?

NO!

I used to be carefree.
Beli apa suka, makan apa suka.
Bila kawan ajak jalan, angguk dulu sebelum jenguk wallet.
Bila kawan ajak tengok wayang, my main concern is wayang apa nak tengok, bukannya harga tiket.

Now?
Aku makan makanan yang murah semata-mata perlu ada duit baki untuk disimpan.
Aku menolak semua jemputan jalan, ajakan menonton wayang dengan alasan wallet kontang.

I've became stingy.
Berkira. Kedekut. Mata duitan.

And I don't like it.

Macam ada sebahagian dari diri aku yang hilang.
Macam aku sudah jadi bukan aku, jadi orang lain.

Dan hilangnya jati diri seperti ini membuatkan aku persoalkan segalanya...

Adakah aku mampu terus tekad dalam mengejar cita-cita?
Adakah tekad aku ini betul-betul berbaloi?
Ataupun hanya hangat pada mulanya, namun hilang selepas ditelan masa?
Ataupun tekad aku diakhiri dengan kekecewaan akibat harapan yang terlalu menggunung?


Harapan?
Aku tak suka perkataan 'harapan' itu.
Kedengaran penuh kuasa positif dan meyakinkan.
Namun 'harapan' datang dari kata akar 'harap'
dan perkataan 'harap' kedengaran sangat mendesak dan dalam keterpaksaan.


This is my daily struggle.

Di saat aku fokus mengejar cita-cita, aku akan kehilangan sesuatu dalam diri.
Now it's my 'carefree', next time maybe my friend, my family, my life.

Berbaloikah aku terus mengejar?





.

Saturday, September 26, 2015

Beberapa.





Ini entri meroyan.
Aku nasihatkan siapa yang sedang membaca ini supaya berhenti...
...and walk away. Just walk away.

You have been warned.


So here's the thing.
Aku terasa dengan beberapa orang pembaca blog cerolian.
Terasa sebab satu perkara bodoh...
..ya aku sedar bodoh, but still terasa ia sangat mendalam.

Look.
Aku mudah.
Kau selalu datang blog aku dan tinggalkan komen,
aku pun akan balas dengan selalu datang ke blog kau tinggalkan komen.
Kau tak datang, aku tak datang.
Simple.

Jadi bila dulu kau selalu datang blog aku dan komen,
aku pun datang ke blog kau dan komen.
After a while kita saling kenal melalui blog dan media sosial
dan mula rapat (i guess?)
aku rasa macam tak perlu tunggu kau datang blog aku dan komen,
jadi aku terus je datang blog kau dan komen.

Belakangan ni aku perasan kau dah tak datang blog aku.
Fikiran positif aku kata kau sibuk.
Kau sibuk. Kau sibuk.

It's okay....
...but it's not.

Bila aku singgah blog orang lain, kau ada di sana.
Kau datang dan komen blog dia.
Tapi kenapa kau tak datang dan komen blog aku?
Kau sibuk untuk blog aku je ke?

Tiap hari rabu aku update,
macam dah berminggu-minggu rabu kau tak datang.
Tapi kenapa blog orang lain kau boleh ada? Boleh datang?

Kenapa?
Kenapa?

I thought we have a connection virtually, an understanding, an unspoken rule.
But fu*k it,
aku bertepuk sebelah tangan rupanya....

"Baru kusedari, cintaku bertepuk sebelah tangan..."
Cuma dalam hal ni bukan cinta, sekadar kenalan.

Atau aku mungkin sekadar rama-rama yang terbang dan menghinggap,
dilayan seketika dilupakan selepasnya?

Oh, dan aku rasa aku ada tulis perkataan 'beberapa' kan di atas?

Aku sedar ini hal kecil dan bodoh...
...mungkin sebab aku mengharapkan sesuatu balasan
tu yang sensitif sikit tu bila tidak seperti yang diharapkan.

Hm...
Aku dah kata jangan baca, kalian baca juga.
Padan muka.




.

Sunday, September 6, 2015

Reset.






"You are never too old to set another goal or to dream a new dream."
                                                                                           - C.S. Lewis


Aku dikenali (oleh orang sekeliling aku) sebagai orang yang tiada cita-cita.
Aku tidak kisah. Serius, tidak kisah.
Kerana aku tahu ianya betul.
Aku tidak pernah ada cita-cita.
Seorang kawan aku yang dari umur kecil lagi dia sudah umumkan kepada semua bahawa dia mahu menjadi doktor gigi, dan alhamdulillah, dia berjaya jadi doktor gigi sekarang ini.
Aku pula?
Tiada.

Umpama selipar dihanyut arus banjir.

Or at least itu apa yang orang fikir.

Aku pernah ada cita-cita.
Pada awal usia 16 tahun, aku ada buat keputusan untuk menjadi sesuatu.
Dan itulah yang menentukan aliran aku.

Namun,
pada usia 18 tahun,
aku telah lakukan sesuatu keputusan yang menjadikan cita-cita aku itu mustahil.
A point of no return.
Aku tersalah langkah.
Aku tersilap pilih keputusan.
Aku gagal untuk tetap pendirian.

Maka,
aku menyimpang dari perjalanan impian aku.
Di kala rakan sebaya aku sudah mencapai cita-cita,
ataupun ada yang sedang dalam perjalanan yang tepat,
aku masih di takut lama.

Aku kembali menjadi selipar yang hanyut dibawa arus.

Tiba-tiba aku ternampak seseorang berkongsi quote C.S. Lewis di atas.

Kata C.S Lewis,
kita tak pernah terlalu tua untuk tetapkan matlamat baru atau kejar impian baru.

Tapi itu kata C.S. Lewis.
Dia sudah berjaya, kaya, dikenali ramai.
Dia sudah ada Narnia.
Dengan kata lain, dia layak berkata begitu.
Orang sudah berjaya memang mampu untuk tetapkan matlamat lain, mampu kejar impian lain.

Tapi aku?

Satu cita-cita pun aku tersasar,
layakkah aku mencari impian lain?


Tiba-tiba realiti menjelma.
Siapa kata cita-cita aku itu mustahil?
Itu cuma alasan aku, seorang yang sudah salah buat pilihan.
Aku masih boleh mengejar cita-cita awal aku.
Walaupun samar-samar, tapi ianya tidak mustahil.
Tiada apa yang mustahil.

Walaupun aku tersasar di titik yang tiada patah balik,
tapi aku masih boleh kejar destinasi aku mengikut cara lain.

Lima tambah dua sama dengan tujuh.
Begitu juga enam tambah satu,
empat tambah tiga,
lapan tolak satu.

Terdapat banyak jalan lain untuk mendapatkan keputusan yang sama.
Aku mungkin terlencong, tapi aku masih boleh ikut jalan jauh.

Buat masa kini,
cita-cita aku memerlukan dua perkara pokok;
Pertama, peluang.
Kedua, wang.

Peluang bukan dalam kawalan aku.
Tapi bila ada peluang, aku kena bersedia.

Namun, wang memang peranan utama.
Buat masa sekarang, aku tiada yang secukupnya.
Tapi dengan usaha, aku rasa aku mampu menempuhinya.

Malangnya, masa semakin suntuk.
Aku tidak sentiasa muda.

Harap aku sempat menggapainya.

Sekarang,
kalau ada yang beri pilihan sama ada dihadiahkan sebuah rumah agam besar atau sejumlah wang yang sama nilai, aku akan pilih wang. Wang itu akan aku buat modal sambung belajar supaya aku dapat kejar cita-cita aku.

Cita-cita yang lama aku pendamkan.
Cita-cita yang lama aku tinggalkan.

Kalau hidup ini satu permainan,
malangnya permainan ini tiada butang reset.
Jadi,
aku akan buat butang reset aku sendiri.




"Life is a game. Play it.
Life is too precious. Don't destroy it."
                                - Mother Teresa.




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...