Friday, November 11, 2016

Pandangan.



Salam.

Aku kalau boleh tak mahu berkongsi tentang ini,
tapi aku kena luahkan juga sebab makin membusuk dalam hati,
malah aku tak ada tempat lain nak luahkan selain di sini.
'Tempat' yang dulu jadi ruang untuk aku luahkan pun sudah bukan untuk aku lagi.

Begini.

Satu hari itu aku pergi ke klinik mata sebuah Hospital Universiti yang dikenali ramai untuk rawatan susulan.
Sementara menunggu giliran,
aku duduk di sebelah seorang pakcik.
Tak tua, tapi bukanlah muda mana.

Aku tenung dia seketika, dia toleh, aku senyum.

"Maaflah kalau saya nak tanya, tapi mata pakcik itu..." sambil aku tunjuk kepada sebelah mata dia bertanyakan keadaan.

"Ini mata batu, dik." Pakcik itu jawab.
"Pakcik buta sebelah mata. Hari ini datang untuk check up."

Setelah aku ceritakan keadaan aku, pakcik itu nampak berminat untuk bercerita lanjut.

"Begini dik. Bila tanya semua orang normal, kalau suatu hari nanti dia dapat tahu dia akan buta kedua belah mata dan apa yang dia nak buat sementara masih celik ini, mesti ramai dapat jawab."

Aku mula beri perhatian.
"Mesti ramai akan jawab mahu melihat alam yang indah, mahu melihat wajah orang yang tersayang, mahu menonton TV rancangan kegemaran, menonton wayang dan macam-macam lagi, kan? Mereka pasti tahu apa yang perlu dibuat sementara menunggu pandangan mereka menjadi gelap, kan?"

"Tapi lain cerita dengan orang yang akan buta sebelah mata. Secara zahirnya mereka masih boleh melihat, jadi pada orang ramai, buta sebelah mata tidaklah seteruk mana."

"Kalau tanya doktor dan orang sains lain, mereka akan beritahu bahawa dengan sebelah mata, kita tak dapat mengagak jarak, jadi memandu akan menjadi sedikit mencabar dan bahaya. Sejak buta sebelah ini, pakcik sendiri banyak kali salah anggar jarak, nak capai cawan pun kekadang tak sampai."

"Tapi doktor tak beritahu, apa yang paling mencabar adalah pandangan orang ramai. Disebabkan pakcik buta sebelah mata dan perlu pakai mata batu, jadi ia akan menarik perhatian orang ramai. Saudara mara yang menziarah pasti akan tertarik mahu melihat mata batu pakcik. Ahli keluarga akan tunjuk muka kesian sebab sebahagian dari pakcik sudah tiada dan diganti dengan batu."

"Kalau berjalan di luar, pakcik kenakan cermin mata hitam, tetap orang akan pandang pelik sebab bercermin mata hitam di dalam bangunan. Kalau pakcik buta cermin mata, mata batu pakcik pula menjadi perhatian orang."

"Disebabkan pakcik tak boleh memandu lagi, pakcik perlu menyusahkan orang sekeliling untuk menghantar pakcik ke sana ke mari. Pada mulanya mereka akan buat atas dasar kesian, tapi bila berkali-kali, wajah mereka akan bertukar dan menganggap pakcik ini menyusahkan. Mereka takkan kata pakcik menyusahkan, tapi dari wajah sudah nampak jelas."

"Malangnya, saudara mara yang tertarik hati, ahli keluarga yang kesian, orang ramai yang memandang, orang sekeliling yang bertukar pandangan, wajah mereka semua pakcik dapat nampak dengan mata satu lagi. Kalau pakcik buta kedua-dua belah mata, paling tidak pakcik tidak akan nampak wajah kesian mereka."

"Sejak pakcik buta sebelah mata ni, pakcik belum pernah lagi nampak pandangan orang yang memandang pakcik dengan normal."

Serius aku cakap,
kalau bukan aku di tempat awam, aku mungkin sudah berlinangan air mata mendengar cerita pakcik itu. Mata aku waktu itu memang sudah bergenang.

"Kamu tahu apa yang pakcik rindu sangat nak tengok sejak buta sebelah mata ni?" sambung pakcik itu. Aku geleng kepala tanda tak tahu.

"Pakcik rindukan wajah orang-orang keliling pakcik yang normal tanpa kerut di dahi. Pakcik rindukan wajah kawan-kawan baik pakcik yang bergelak ketawa tanpa prejudis. Semuanya sekarang mesti ada kerut di dahi melihat pakcik. Seolah-olah pakcik ini sangat kesian dan perlukan pandangan simpati dari orang ramai."

"Bukan tak bersyukur, tapi ada waktu pakcik harap pakcik buta kedua-dua belah mata supaya tidak lagi perlu melihat pandangan kesian orang ramai."


Nombor giliran dipanggil dan nombor itu milik pakcik. Pakcik pun bangun dari kerusi. Aku sempat salah tangan dia. Niat hati nak peluk badan dia kejap-kejap tapi entahlah...ego kot.

Entahlah...
Mungkin aku akan mengalami apa yang pakcik itu alami.
Mungkin aku akan rindu wajah normal orang keliling, kerana bila ia berlaku, pasti orang lain akan mula mengubah pandangan sama ada secara sedar atau tidak sedar.

There's no brightside in this, at least not that I'm capable to see.





.

Monday, November 7, 2016

Kagum.



Salam.

Secara umumnya, aku cepat kagum.
Apatah lagi dengan bakat milik orang lain.
Tapi bila kekaguman itu datang secara berkala, dengan kata lain si dia tak pernah berhenti daripada buatkan aku kagum, perasaan kagum itu akan bertukar jadi hormat.

Ini cerita tentang aku di Facebook.

Aku boleh dikatakan baru sahaja buat satu profil Facebook untuk cEro.
Fungsi profil itu adalah untuk terus berhubung dengan mereka-mereka yang aku anggap kawan atas nama cEro.

Satu waktu ni, ada seorang add aku as friend. Aku accept.
Aku tak kenal dia, tapi sebab bila aku tengok wall dia penuh dengan lukisan komik, aku rasa apa salahnya accept dan start kawan.

Oh, dia lelaki.

Wall dia penuh dengan karya lukisan dia.
Cantik lukisan komik dia, kemas, jenis yang aku suka.
Setiap kali tengok dia upload artwork baru, aku kagum.
Dan dia seslalu upload secara berkala, jadi kekaguman aku pun kekal secara berkala.

Aku like artwork dia, dia like status aku.
Kami berkawan hanya sebagai friend di Facebook.

Satu hari aku dapat message daripada dia.
Ada satu pertandingan komik bisu sedang berlangsung.
Dia ajak aku join dia sebagai tag team untuk kolaborasi.

Aku terkejut.
Dia sudah tahap dihormati kot.
Kalau tidak silap, dia pernah bersama satu pasukan menerbit buku di pasaran.
Tetiba dia mesej aku ajak jadi penulis/pelukis bersama,
aku macam WOW! INI SATU PENGHORMATAN.

Tapi sebab aku sedar diri, aku terpaksa menolak.

Macam ni,
aku tahu aku boleh melukis.
Tapi aku tak rasa skil melukis aku sudah masuk tahap boleh join pertandingan.
Jauh lagi bagi aku nak capai tahap itu.

Satu lagi, aku kenal diri aku siapa.
Aku kurang disiplin.
Aku suka buat kerja tangguh dan last minute.
Perangai macam tu, kalau bekerja seorang diri tak ada masalah.
Tapi kalau nak berkolaborasi dengan orang lain, tak berapa sesuai.

Aku kena perbaiki diri dulu sebelum libatkan orang lain.




Kepada orang yang berkenaan, walaupun aku tahu dia tak baca ini,
tapi ketahuilah bahawa aku amat berbangga bila mendapat pelawaan itu.
Aku sangat berbesar hati.
Tapi aku terpaksa menolak dengan hati yang berat.

Kalau lepas setahun atau dua, selepas aku perbaiki apa yang boleh aku baiki,
kalau sudi ajak laa kolaborasi lagi.
Waktu itu kalau aku menolak, akulah orang yang paling bangang dalam dunia.






.

Monday, October 31, 2016

Kawan.


Salam.

Nama aku cEro,
at least itu yang aku gelar diri aku di alam maya buat masa sekarang.

Semasa aku mula tulis blog cErolian dahulu,
aku tidak sembunyikan langsung identiti aku.
Blog itu jadi tempat aku luahkan perasaan hati.
Banyak perkara aku ceritakan di dalam blog itu.

Hari demi hari pembaca makin ramai.
Entah kenapa, ramai suka nak tahu kisah cinta aku yang tak menjadi itu.
Jadi pada beberapa tahun lalu,
aku berkeputusan untuk asingkan sepenuhnya diri sebenar aku dan alter ego aku.

Bukan apa,
kalau boleh aku tidak mahu dilihat sebagai cEro di dunia realiti.
Aku adalah aku.
Dan cEro adalah cEro hanya di alam atas talian.
Aku tidak akan respon untuk sebarang panggilan cEro di alam realiti
dan cEro tidak akan respon untuk sebarang panggilan nama aku di dunia maya.

Tapi bak kata pepatah,
'perasaan ingin tahu mampu membunuh sang kucing'
Lagi kuat aku cuba nak simpan identiti cEro,
makin kuat usaha sesetengah insan nak korek rahsia itu.

Jadi,
beberapa bulan lalu aku longgarkan sedikit prinsip.
Aku masuk beberapa kumpulan melukis atas nama cEro.
Dan kumpulan itu perlukan komitmen secara fizikal jadi mahu tidak mahu aku terpaksa bongkarkan identiti cEro kepada beberapa orang yang pada aku boleh dipercayai.

Sedikit demi sedikit rahsia aku terbuka.
Siapa aku, siapa nama aku, umur aku, aku tinggal di mana, macam-macam lagi...

Kami bertukar-tukar idea, pendapat, bertelagah, berbaik semula, ejek-mengejek, hinggakan ada yang katanya sudah timbul rasa sayang walaupun semua itu berlaku hanya di atas talian.

Mula-mula bilangannya yang tahu identiti aku hanyalah sebilangan jari tangan.
Namun hari demi hari bilangannya makin bertambah,
aku sendiri seperti hilang dalam keseronokan berkawan.

Ya, berkawan.

Kerana aku sudah percayakan mereka,
jadi secara tidak langsung aku anggap mereka sebagai kawan.

Macam aku pernah kupas dahulu,
konsep kawan lain daripada konsep sayang.
Aku boleh sayang orang tanpa orang itu tahu pun aku wujud,
tapi aku tak boleh panggil orang kawan kalau orang itu tidak anggap aku juga sebagai kawannya.

Aku anggap kami kawan, tapi aku silap.
Aku seorang sahaja anggap kawan...

Ramai yang di antara mereka tidak layak pun dipanggil kawan.
Ada yang perangai asyik nak hentam orang je, lepas tu kata orang annoying.
Ada yang terus jadi stranger hanya sebab tak dapat apa yang dia nak.
Ada yang sentiasa nak jadi alpha, tidak kira siapa yang dikritik tetap nak jadi alpha.
Ada pula yang memilih nak kawan dengan siapa, nak shut off dengan siapa.


Mula-mula masa aku terfikir nak longgarkan sedikit prinsip aku ni,
aku tak sangka langsung bakal bertemu dengan 'kawan' yang jenis macam ni.

Mungkin salah aku kot sebab inginkan sesuatu yang utopia.

Betul kata orang,
masa akan tunjukkan warna sebenar sesetengah manusia.


Jadi,
aku buat keputusan untuk perlahan-lahan berundur dari kelompok ini.
Kalau ada antara mereka yang masih mahu anggap aku 'kawan', hampirilah aku.
AKu akan terima dengan hati terbuka.
Tapi kepada yang rasa tak ada aku pun dia tak rugi apa-apa, aku redha.
Aku terima kalau kita bukan 'kawan' lagi.



The thing is aku kurang kawan.
Jadi bila aku sudah anggap seseorang itu kawan, berani aku katakan aku sanggup jadi perisai manusia kalau ada peluru menuju ke arah mereka.

Tapi macam aku cakap,
kawan ni kena dua hala.
Aku seorang je perasan diri kawan susah juga.



Kepada yang baca entri ini dan mahu jadikan aku kawan,
carilah aku dari mana medium sekalipun.
InsyaAllah kalau niat betul, aku pun nak berkawan dengan korang.
Syaratnya, just don't fake.

Kepada yang terasa macam aku maksudkan dia dalam entri ni,
aku minta maaf.
Kalau korang nak exit dari mana-mana persahabatan palsu yang ada, aku terima.
Just don't pretend kita kawan padahal hakikatnya tidak.
Tapi kalau korang nak perbaiki hubungan yang ada, beritahu aku.
Biar kita sama-sama baiki dan matang bersama.
Aku tak mahu kita berperangai macam budak tadika.


You know,
perasaan hilang kawan lagi pedih sebenarnya daripada putus cinta.
Kau mungkin tak faham perasaannya sebab kau ada banyak kawan.






.

Friday, October 21, 2016

Lumat.



Aku tak pasti.
Tapi baru-baru ni aku ada perasaan TERsuka dekat seseorang.

Macam yang aku katakan, aku tak pasti.
Sebab kali terakhir aku suka dengan seseorang,
ia berakhir dengan stress dan rambut yang dengan meriahnya gugur.

Jadi kali ini aku tak pasti sama ada perasaan ini 'suka'
ataupun sekadar mekanisma untuk menutup lopong di dada.

Begitu mudah, kan, bertukar perasaan?
Suka berbeza dengan sayang.
Suka adalah satu proses.
Hari ini boleh melonjak ke 70%, esok boleh turun ke 30%.
Namun meletakkan angka pada perasaan kelihatan mudah.
Sebenarnya,
ia lebih rumit daripada kiub rubik 5x5.

Namun rasanya aku tak memiliki kapasiti untuk terus menyukai seseorang.

Macam berkali-kali aku ulangi,
aku tiada apa untuk ditawarkan.
Bukan merendah diri, bukan tiada keyakinan diri
tapi aku sedar diri.

Kaki aku masih berpijak pada realiti,
bukan fantasi ciptaan organ 5 tahil 2 kati.

Maka,
jalan paling baik dan memudahkan semua orang adalah
aku terpaksa abai perasaan aku.
Tahan, tekan sampai lumat.
Mungkin kalau bernasib baik, ia akan hilang
dan aku boleh terus pakai topeng senyum di wajah.

Isunya,
adakah jalan tersebut baik dan mudah untuk aku?


Hidup sangat susah.
Tapi susahnya hidup itulah yang membuatkannya menarik.

Mari lihat apa pula perasaan ini akan rasa esok hari.




.

Sunday, April 10, 2016

Rahsia.

Salam.

Sebagai mukadimah,
kita semua ada rahsia masing-masing.
Kecil, besar, lama atau baru, rahsia datang dalam pelbagai bentuk.
Jadi, apa patut kita buat dengan rahsia?

Sesetengah orang menilai orang lain melalui rupa fizikal,
ada pula yang menilai melalui hati budi.
Tapi,
aku menilai seseorang melalui berapa tinggi hormat dia kepada rahsia.




Semasa zaman sekolah dahulu,
aku anggap diri sendiri sebagai pemegang rahsia.
For reasons I don't know, ramai kawan-kawan yang sudi berkongsi rahsia mereka dengan aku walaupun pada dasarnya aku tak berminat pun.
Mungkin sebab aku suka mendengar kot...entahlah.

Jadi,
dari rahsia sekecil menipu dalam peperiksaan, sukakan seseorang secara rahsia, sehinggalah rahsia besar seperti pernah second base dengan awek sendiri, semua aku tahu.

Tapi memegang rahsia orang ni bukannya seronok,
sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab. Satu amanah.

Kalau aku terbocor rahsia, maka habis ranap persahabatan dan kepercayaan si pemberi rahsia.
Kalau aku cuba untuk mengugut menggunakan rahsia mereka,
juga aku tidak lagi dipandang sebagai seorang yang boleh menerima amanah.

Tapi menjaga amanah rahsia ini bukannya susah.
Apa perlu aku buat ialah...

...DIAM.


Diam adalah cara paling mudah menyimpan rahsia.
Sebab bila diam, tiada cara untuk rahsia itu terkeluar.
Sekaligus rahsia akan tersimpan dalam benak fikiran dengan amannya.

Imbasan kenangan di atas berbalik kepada satu poin,
iaitu menghormati rahsia.

Kita tak perlu pun menghormati si pemberi rahsia.
Tapi kita MESTI kena hormat rahsia yang diberi.
Kerana
mesti ada sebab kenapa rahsia menjadi rahsia.
Kalau tak ada sebab, maka rahsia itu bukan rahsia.
Rahsia itu boleh diceritakan kepada siapa pun.

Kekadang rahsia menjadi rahsia sebab kalau dihebahkan akan memudaratkan.
Memudarat itu termasuk memalukan, membawa tekanan dan juga memberi impak negatif mungkin bukan hanya kepada si pemberi rahsia, malah orang sekeliling.



Poin aku untuk entri ini ialah,
aku sedikit sedih bila ada beberapa orang yang 'kononnya' tahu rahsia aku sedang seolah-olah memegangnya bagi tujuan mengugut.
Kononnya,
"aku ada rahsia kau, jadi jangan buat tahi dengan aku."
"Kau kena hormat aku sebab aku tahu siapa kau."
"Hey, jangan ingat kau besar. Rahsia kau di tangan aku."

Tak kira sama ada kita kawan atau lawan, pada aku,
rahsia tetap perlu dihormati.

Aku tak pernah terniat nak pecahkan rahsia orang walaupun dalam nada bergurau,
jadi aku harap sesiapa yang tahu rahsia aku juga boleh turut sama buat sedemikian.

Kekadang rahsia tu bukan besar mana...
namun bukan rahsia yang menjadi isu, tapi tidak menghormati hak orang lain untuk berahsia, itu isunya.

Memang,
bila tahu seseorang itu ada rahsia, perasaan ingin tahu membuak-buak dalam diri mahu mengorek keluar rahsia berkenaan.
Bila sudah tahu rahsia tersebut, kita ada pilihan sama ada menyimpannya atau membongkarnya.
Pilihan di tangan kita.
Jadi,
jangan jadi douchebag pergi jaja rahsia orang lain semata-mata nak tunjuk diri tu lebih hebat dari si pemilik rahsia.



Sekali lagi aku tekankan di sini,
orang di sebalik cEro adalah rahsia.
Dan rahsia itu tak akan aku bongkarkan sesuka hati.
Tapi,
jika ada antara kalian sudah tahu siapa cEro yang sebenar,
aku memohon dengan rendah dirinya supaya menyimpan rahsia itu sebaik mungkin.

Bukannya dengan parading around social media memegang sepanduk kononnya kau tahu siapa cEro yang sebenar.

Ingat satu perkara,
ada sebab kenapa kau tahu rahsia aku.
Sama ada sebabnya adalah aku sedang menguji kau,
ataupun sebab aku juga ada pegang rahsia kau.
Dan kalau kau tanpa segan silu menjaja rahsia aku ke hulu ke hilir,
mungkin sudah sampai masa aku juga perlu buat perkara yang sama.

Tak, bukan mengugut.
Cuma pada aku, rahsia perlu dihormati.
Aku mungkin tak hormat kau, tapi aku hormat rahsia kau.
Dan aku suggest kau juga hormat rahsia aku sebelum terlambat.


Sekian.





.

Saturday, February 27, 2016

Suka.


Salam.

Someone told me that she like me.
But she don't even know me.
How can you like someone you don't know?

Adakah awak suka saya, atau suka cEro?
Cuba tanya diri sendiri dulu.
Jawapannya bukan pada saya, tapi pada awak.

Monday, January 25, 2016

Gelap.

Terima kasih kerana memberi komen, pendapat dan sokongan sepanjang minggu gelap aku minggu lepas.

Maaflah.
Untuk blog ini, aku tak akan reply sekerap yang aku reply di blog satu lagi.
Tapi aku jamin aku baca semua komen yang ditaip.

Blog ini supposed to be my escape route, sesuatu yang aku nak kongsi tapi lebih private dan tak sesuai dikongsi di blog satu lagi yang (kononnya) lebih cerita dan santai.
Blog ini lebih berat, sarat dan emosional.

Aku tak sangka ada juga yang baca blog ini.
Mungkin sebab aku set auto-ping ke media sosial bila ada entri baru,
so capaiannya jadi ramai.

Aku mungkin patut off auto-ping untuk blog ni rasanya.

Bagi yang bertanya apa bidang yang aku nak masuk itu,
jawapannya aku tidak akan beritahu.
Kalian boleh buat assumption sendiri tentang bidang apa yang aku maksudkan, tapi harapnya tiada yang jadikan assumption itu sebagai fakta.

You know how I hate wild assumptions.

Cukuplah untuk aku terangkan di sini, aku sudah pun buat keputusan.
Satu yang sukar, tapi keputusan aku itu sepenuhnya 100% keputusan aku,
jadi kalau aku silap sekalipun, aku tiada orang lain untuk dipersalahkan.
100% atas aku.

The truth is,
aku tak ada telinga untuk mendengar segala keluh kesah masalah aku macam mana aku selalu jadi telinga untuk orang.
Jadi blog inilah telinga aku.
Aku tak minta simpati siapa, juga bukan niat aku nak minta pertolongan mana-mana.
Semuanya sekadar niat mahu berkongsi, mahu didengari,
sebagai satu wadah untuk aku ukur kewarasan diri.

Tapi hakikatnya impian orang purba sangat mahal.
Aku rindukan impian anak kecil yang cukup murah dan basah di hujung lidah.

Hidup kena terus.
Cerita impian dan harapan dan cita-cita yang terkubur sentiasa segar dan seronok apabila diceritakan semula kepada generasi seterusnya.

Sekali lagi, terima kasih semua yang sudi membaca, yang sudi mendengar.



.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...