Sunday, April 10, 2016

Rahsia.

Salam.

Sebagai mukadimah,
kita semua ada rahsia masing-masing.
Kecil, besar, lama atau baru, rahsia datang dalam pelbagai bentuk.
Jadi, apa patut kita buat dengan rahsia?

Sesetengah orang menilai orang lain melalui rupa fizikal,
ada pula yang menilai melalui hati budi.
Tapi,
aku menilai seseorang melalui berapa tinggi hormat dia kepada rahsia.




Semasa zaman sekolah dahulu,
aku anggap diri sendiri sebagai pemegang rahsia.
For reasons I don't know, ramai kawan-kawan yang sudi berkongsi rahsia mereka dengan aku walaupun pada dasarnya aku tak berminat pun.
Mungkin sebab aku suka mendengar kot...entahlah.

Jadi,
dari rahsia sekecil menipu dalam peperiksaan, sukakan seseorang secara rahsia, sehinggalah rahsia besar seperti pernah second base dengan awek sendiri, semua aku tahu.

Tapi memegang rahsia orang ni bukannya seronok,
sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab. Satu amanah.

Kalau aku terbocor rahsia, maka habis ranap persahabatan dan kepercayaan si pemberi rahsia.
Kalau aku cuba untuk mengugut menggunakan rahsia mereka,
juga aku tidak lagi dipandang sebagai seorang yang boleh menerima amanah.

Tapi menjaga amanah rahsia ini bukannya susah.
Apa perlu aku buat ialah...

...DIAM.


Diam adalah cara paling mudah menyimpan rahsia.
Sebab bila diam, tiada cara untuk rahsia itu terkeluar.
Sekaligus rahsia akan tersimpan dalam benak fikiran dengan amannya.

Imbasan kenangan di atas berbalik kepada satu poin,
iaitu menghormati rahsia.

Kita tak perlu pun menghormati si pemberi rahsia.
Tapi kita MESTI kena hormat rahsia yang diberi.
Kerana
mesti ada sebab kenapa rahsia menjadi rahsia.
Kalau tak ada sebab, maka rahsia itu bukan rahsia.
Rahsia itu boleh diceritakan kepada siapa pun.

Kekadang rahsia menjadi rahsia sebab kalau dihebahkan akan memudaratkan.
Memudarat itu termasuk memalukan, membawa tekanan dan juga memberi impak negatif mungkin bukan hanya kepada si pemberi rahsia, malah orang sekeliling.



Poin aku untuk entri ini ialah,
aku sedikit sedih bila ada beberapa orang yang 'kononnya' tahu rahsia aku sedang seolah-olah memegangnya bagi tujuan mengugut.
Kononnya,
"aku ada rahsia kau, jadi jangan buat tahi dengan aku."
"Kau kena hormat aku sebab aku tahu siapa kau."
"Hey, jangan ingat kau besar. Rahsia kau di tangan aku."

Tak kira sama ada kita kawan atau lawan, pada aku,
rahsia tetap perlu dihormati.

Aku tak pernah terniat nak pecahkan rahsia orang walaupun dalam nada bergurau,
jadi aku harap sesiapa yang tahu rahsia aku juga boleh turut sama buat sedemikian.

Kekadang rahsia tu bukan besar mana...
namun bukan rahsia yang menjadi isu, tapi tidak menghormati hak orang lain untuk berahsia, itu isunya.

Memang,
bila tahu seseorang itu ada rahsia, perasaan ingin tahu membuak-buak dalam diri mahu mengorek keluar rahsia berkenaan.
Bila sudah tahu rahsia tersebut, kita ada pilihan sama ada menyimpannya atau membongkarnya.
Pilihan di tangan kita.
Jadi,
jangan jadi douchebag pergi jaja rahsia orang lain semata-mata nak tunjuk diri tu lebih hebat dari si pemilik rahsia.



Sekali lagi aku tekankan di sini,
orang di sebalik cEro adalah rahsia.
Dan rahsia itu tak akan aku bongkarkan sesuka hati.
Tapi,
jika ada antara kalian sudah tahu siapa cEro yang sebenar,
aku memohon dengan rendah dirinya supaya menyimpan rahsia itu sebaik mungkin.

Bukannya dengan parading around social media memegang sepanduk kononnya kau tahu siapa cEro yang sebenar.

Ingat satu perkara,
ada sebab kenapa kau tahu rahsia aku.
Sama ada sebabnya adalah aku sedang menguji kau,
ataupun sebab aku juga ada pegang rahsia kau.
Dan kalau kau tanpa segan silu menjaja rahsia aku ke hulu ke hilir,
mungkin sudah sampai masa aku juga perlu buat perkara yang sama.

Tak, bukan mengugut.
Cuma pada aku, rahsia perlu dihormati.
Aku mungkin tak hormat kau, tapi aku hormat rahsia kau.
Dan aku suggest kau juga hormat rahsia aku sebelum terlambat.


Sekian.





.

Saturday, February 27, 2016

Suka.


Salam.

Someone told me that she like me.
But she don't even know me.
How can you like someone you don't know?

Adakah awak suka saya, atau suka cEro?
Cuba tanya diri sendiri dulu.
Jawapannya bukan pada saya, tapi pada awak.

Monday, January 25, 2016

Gelap.

Terima kasih kerana memberi komen, pendapat dan sokongan sepanjang minggu gelap aku minggu lepas.

Maaflah.
Untuk blog ini, aku tak akan reply sekerap yang aku reply di blog satu lagi.
Tapi aku jamin aku baca semua komen yang ditaip.

Blog ini supposed to be my escape route, sesuatu yang aku nak kongsi tapi lebih private dan tak sesuai dikongsi di blog satu lagi yang (kononnya) lebih cerita dan santai.
Blog ini lebih berat, sarat dan emosional.

Aku tak sangka ada juga yang baca blog ini.
Mungkin sebab aku set auto-ping ke media sosial bila ada entri baru,
so capaiannya jadi ramai.

Aku mungkin patut off auto-ping untuk blog ni rasanya.

Bagi yang bertanya apa bidang yang aku nak masuk itu,
jawapannya aku tidak akan beritahu.
Kalian boleh buat assumption sendiri tentang bidang apa yang aku maksudkan, tapi harapnya tiada yang jadikan assumption itu sebagai fakta.

You know how I hate wild assumptions.

Cukuplah untuk aku terangkan di sini, aku sudah pun buat keputusan.
Satu yang sukar, tapi keputusan aku itu sepenuhnya 100% keputusan aku,
jadi kalau aku silap sekalipun, aku tiada orang lain untuk dipersalahkan.
100% atas aku.

The truth is,
aku tak ada telinga untuk mendengar segala keluh kesah masalah aku macam mana aku selalu jadi telinga untuk orang.
Jadi blog inilah telinga aku.
Aku tak minta simpati siapa, juga bukan niat aku nak minta pertolongan mana-mana.
Semuanya sekadar niat mahu berkongsi, mahu didengari,
sebagai satu wadah untuk aku ukur kewarasan diri.

Tapi hakikatnya impian orang purba sangat mahal.
Aku rindukan impian anak kecil yang cukup murah dan basah di hujung lidah.

Hidup kena terus.
Cerita impian dan harapan dan cita-cita yang terkubur sentiasa segar dan seronok apabila diceritakan semula kepada generasi seterusnya.

Sekali lagi, terima kasih semua yang sudi membaca, yang sudi mendengar.



.

Sunday, January 24, 2016

Keputusan.


Salam.

Yang ada, mencari. Yang menuju, berhalangan. Yang sudah ada, tidak bersyukur.





Mungkin jika aku tanya kalian patutkah aku berputus asa, jawapan kalian ialah tidak, terlalu awal, cuba lagi, jangan putus asa. Tapi daripada segala halangan yang aku lalui sejak dari awal menetapkan impian, aku terasa seperti ada saja yang menghalang.

Belum dapat peluang, aku cari peluang. Sudah dapat peluang, banyak yang menghalang. Halangannya pula bukannya kecil, tapi cukup besar dan tidak dapat diterima akal. Semua ini membuatkan aku penat. Penat meronta. Penat menempuh. Penat segalanya.

Aku sudah berada di hujung pemikiran di mana aku perlu buat satu keputusan pejal dan berpegang kepadanya. Satu keputusan sama ada segala rontaan dan susah payah yang aku lalui sebelum ini bakal berbaloi ataupun ia sekadar satu memori yang bakal terpalit di benak akal fikiran aku.

Satu keputusan yang cukup besar, sama ada aku patut kejar impian dan menikmatinya atau tinggalkannya dan kembali menjadi diri aku sebelum ini, sebelah selipar yang dihanyut arus kehidupan.

Satu keputusan yang bakal mencorak pemikiran aku yang sebelum ini percayakan tiada kemustahilan ataupun membuktikan bahawa sesetengah perkara itu adalah mustahil tidak kira betapa kuat kita menguak.

Keputusan tentang satu soalan.
Patutkah aku berputus asa dari impian aku?

Aku patut.




.

Saturday, January 23, 2016

Syukur.


Salam.

Mengejar impian bukannya mudah, apatah lagi kalau lambat bermula. Wang, bantuan, masa, konsep, bukanlah sesuatu yang senang diperoleh hanya kerana kemahuan kita yang membuak-buak.





Sebab itu aku yakin, kalau aku mampu harungan segala cabaran ini, aku akan menjadi seorang yang bersyukur dan tidak mudah lupa diri. Kesusahan dan kesakitan yang dilalui merupakan pengajar terbaik untuk menjadi yang lebih baik. Aku yakin aku mampu menjadi sesuatu yang terbaik, tawaduk dan merendah diri.

Namun lain cerita dengan mereka yang sudah berada di jalam impian aku.

Sering kali aku baca dan dengar tentang rungutan mereka. Susah sana. Payah sini. Sesal sana. Kesal sini. Ini salah. Itu salah. Semuanya serba tidak kena, walhal mereka sudahpun menjadi apa yang ingin jadi. Jelas kedengaran tiada kesyukuran ke atas Yang Maha Esa tentang jalan yang mereka perolehi. Tidak habis-habis dengan rungutan walaupun sudah sedia maklum itu merupakan sebahagian daripada profil kerjaya mereka.

Jenis orang macam ini yang sangat menyakitkan hati aku.

Kalau ikutkan sisi hitam aku, mahu saja aku rejam kepala mereka sampai bersyukur dengan setiap nafas yang mereka helakan. Mahu saja aku potong kaki mereka supaya mereka tahu tempat mereka berdiri itu merupakan idaman ramai, termasuk aku. Mahu saja aku cantas kepala mereka supaya mereka tahu langit yang mereka junjung itu adalah kurniaan Tuhan Yang Memberi Rezeki.

Bersyukurlah.
Tapi kalau tak suka, berundurlah.
Ramai lagi menanti panggilan mereka.

Aku harap aku tidak akan tergolong ke dalam golongan sedemikian. Namun dari apa yang aku rasai sekarang, harapan adalah perkara terakhir boleh aku harapkan.

Patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.

Friday, January 22, 2016

Hitam.


Salam.

Semasa kecil aku selalu bertanya kepada diri sendiri.
"Orang jahat tahu tak dirinya jahat? Kalau dia tahu dia jahat, kenapa dia tetap nak buat jahat? Jahat kan berdosa."





Aku tidak ingat apa jawapan yang aku dapat dari soalan aku itu. Tapi yang aku pasti konsep jahat-baik, dosa-pahala pada aku waktu itu seperti konsep hitam dan putih. Hitam dan putih dapat dibezakan hanya dengan sekali pandang, tidak perlu bahasan yang panjang.

Namun semakin dewasa, konsep hitam-putih itu semakin kabur. Apa perkara jahat yang bertujuan baik dan berpengakhiran baik. Ada perkara baik yang memberikan mudarat kepada orang lain sehinggakan termuncullah kejahatan.

Jahat dan baik kini bukan lagi semudah membezakan hitam dan putih. Tiada lagi sempadan nyata antara hitam dan putih, tetapi wujudnya kelabu di antara dua. Bukan hitam, bukan putih, tapi kelabu.

Begitulah rontaan harian aku.

Untuk memenuhi tuntutan mengejar impian (terutamanya kewangan), bermacam-macam helah jahat kau fikirkan. Menipu. Merompak. Memeras ugut. Mencuri. Menyorok kebenaran. Namakan sahaja. Otak aku tidak pernah berhenti dari memikirkan penyelesaian. Kebanyakannya adalah jalan hitam yang tidak halal.

Tapi niat aku ialah mahu sambung belajar. Mahu menjadi sesuatu, seseorang yang bakal menyumbang kepada orang lain. Mahu menjadi pemberi inspirasi, pembawa harapan, pengiring keamanan dan keindahan hidup. Bukankah itu satu niat yang murni?

Persoalannya sekarang, tiada jalan singkat untuk aku memperolehnya jika aku tidak lalui jalan hitam. Tanpa agama dan pedoman, aku mungkin sudah memilih jalan hitam kerana ia lebih senang dan berhasil. Namun aku ada agama. Aku ada pedoman. Aku harap iman aku cukup kuat untuk mengelak jalan-jalan tidak halal itu semata-mata hanya kerana hasil yang aku dapat mampu membawa kebaikan.

Ia berbalik kembali kepada soalan aku setiap hari.
Patutlah aku berputus asa dari impian aku?




.

Thursday, January 21, 2016

Bidik.


Salam.

Kewangan. Bantuan. Usia. Itu antara faktor kepada dilema aku mengejar impian dan cita-cita. Namun apa yang penting ialah konsep aku sendiri terhadap impian itu sedikit lambat.





Bukan mahu mencari salah sesiapa atau mahu memburukkan keluarga, tapi aku dibesarkan tanpa konsep impian dan cita-cita. Ya. Semasa di bangku sekolah, aku dilatih untuk menggapai kejayaan dalam setiap peperiksaan, tapi aku tiada konsep untuk apa aku lakukannya. Seperti pemanah yang memegang busur dan anak panah. Busur aku hebat, anak panah aku tajam, tapi aku tiada sasaran. Aku boleh bidik dengan tepat tapi tanpa sasaran, bidikan aku tidak bermakna.

Aku tak salahkan Emak Abah aku yang membesarkan aku. Aku sangat faham, dalam keluarga sederhana, apa yang penting adalah boleh teruskan hidup dengan selesa. Tidak perlu impian dan cita-cita yang selalunya tidak tercapai dek kemampuan.

Aku juga tidak salahkan cikgu-cikgu aku. Memang tiap kali ditanya mengenai cita-cita, semua ada jawapannya. Tapi aku hanya menuturkan jawapan. Aku langsung tidak memikirkan ia adalah target yang sepatutnya aku capai. Aku umpama daun gugur ke atas permukaan sungai, dibawa arus mengikut aliran. Aku tiada hala tuju pada ketika itu.

Namun, satu hari aku mendapat satu perasaan untuk menjadi sesuatu. Untuk menjadi sesuatu yang lebih dari diri aku ketika itu. Buat pertama kali dalam hidup, aku nampak sasaran. Aku tahu di mana perlu aku bidik panah aku.

Tapi waktu itu segalanya sudah terlambat.

Sasaran terlalu jauh. Sasaran dihalang ribuan onak. Walaupun belum mustahil, tapi bukannya mudah. Pelbagai halangan perlu aku lalui, malah masa langsung tidak membantu. Ia terlalu sukar, terlalu mahal sehinggakan aku seperti terkapai-kapai di hujung nafas hanya untuk mendapat sedikit jelingan terhadapa sasaran itu.

Ia susah. Ia mahal. Ia payah.

Jadi,
patutkah aku berputus asa dari impian aku?




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...